Lebih 200 terima sumbangan menjelang sesi baru persekolahan

Lebih 200 terima sumbangan menjelang sesi baru persekolahan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Situasi ekonomi yang semakin sukar memerlukan kprihatinan pelbagai pihak bagi membantu golongan miskin khususnya menjelang sesi baru persekolahan awal Januari depan.

Prihatin dengan nasib mereka yang kurang bernasib baik, pihak pengurusan Wisma Tok Guru, Salor mengadakan penyampaian bantuan kepda pelajar sekolah dan golongan asnaf semalam.

Pada majlis tersebut, seramai 150 orang pelajar menerima set lengkap pakaian sekolah manakala seramai 90 orang asnaf menerima RM100 setiap seorang.

Berucap merasmikan majlis itu, Adun Salor, Datuk Husam Musa berkata golongan hartawan dalam masyarakat Islam, apa lagi sebuah kerajaan, perlu sentiasa peka supaya kebajikan orang ramai terutama dalam perkara-perkara asas perlu sentiasa cukup.

“Sebuah kerajaan Islam seharusnya mempunyai hasil kewangan yang kukuh.

“Misalnya, semasa pemerintahan Sayyidina Umar Abdul Aziz, tiada rakyat yang ditemui susah dan tidak ada yang menerima zakat,” katanya.

Antara cara yang dilakukan katanya, ialah dengan menurunkan cukai.

“Dengan penurunan cukai tersebut, kesannya ramai akan menyertai perniagaan, pelabur dan datang untuk menjalankan urusan perniagaan dan seterusnya meningkatkan hasil negara,” katanya.

Di Kelantan kata beliau, untuk meningkatkan hasil negeri tanpa menyusahkan rakyat dengan kaedah meningkatkan hasil dengan cara yang lebih efisyen.

“Misalnya seperti dengan kaedah tender permohonan kayu balak kepada syarikat yang memohon,” katanya.

Beliau yang juga penasihat Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Kelantan berkata jika parti itu diberi peluang memerintah di Kelantan, perkara pertama yang akan dilakukan dengan meningkatkan hasil negeri.

“Kelantan sebenarnya mempunyai pelbagai potensi untuk menjadi sebuah negeri kaya jika diurus tadbir dengan telus dan bijaksana,” katanya.

TAGS