Lebih 50 sertai demo “tolak Pas” di Konvensyen Pakatan Harapan

Lebih 50 sertai demo “tolak Pas” di Konvensyen Pakatan Harapan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Laungan “Tolak Pas” kedengaran di luar Ideal Convensyen Centre (IDCC), Shah Alam bermula jam 9 pagi tadi, tempat berlangsungnya Konvensyen Pakatan Harapan (PH) yang pertama.

Lebih 50 peserta terbabit dalam demonstrasi anjuran kumpulan yang diberi nama Kelab Penyokong Pakatan Harapan itu.

Ungkapan tertera pada dua kain rentang itu adalah “Perkuatkan Pakatan Harapan tanpa Pas” serta “Sampai bila mahu tunggu Pas? Kami akar umbi sudah bosan!”

Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Tahir sebelum ini menafikan parti itu terlibat dalam demonstrasi tersebut.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan beberapa hari sebelum konvensyen, para penyokong Pakatan Harapan dijemput untuk menyertai demonstrasi aman membantah kemasukan atau penyertaan Pas ke dalam pakatan pembangkang.

Notis yang dikeluarkan oleh Rozita bt Harun bagi pihak Sekretariat NGO Pro PH itu meminta semua yang hadir memakai baju NGO masing-masing.

Konvensyen Pakatan Harapan (PH) berlangsung hari ini dengan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dijangka akan turut serta.

Ia dijangka bakal mempersiapkan PH dan rakan-rakannya untuk mengemaskan jentera mereka bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Pagi ini, para setiausaha dan sayap-sayap kepada parti-parti PKR, DAP dan Amanah akan bersidang bersama manakala para pemimpin utama mereka akan bersidang petang ini.

Di samping ucapan pemimpin sayap, isu-isu juga akan dibahaskan pagi ini sebelum di bawa ke sidang para pemimpin utama petang ini.

TAGS