Lebih ramai digesa ceburi penghasilan madu lebah

Lebih ramai digesa ceburi penghasilan madu lebah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Lebih ramai pihak terutama usahawan tempatan digesa menyertai bidang penghasilan madu bagi menampung permintaan tinggi dari dalam serta luar negara.

Penasihat Eksekutif Flora Bee Hive Enterprise Sdn Bhd, Yan Hashim, berkata syarikat itu yang juga antara pengeluar madu lebah terbesar negara, memerlukan bekalan lebih besar bagi menampung permintaan tempatan.

Antara sektor yang memerlukan madu adalah makanan, kesihatan dan kecantikan selain tindakan orang ramai menjadikan madu yang tiada had jangka hayatnya sebagai pengganti gula.

“Kilang kami di Kamunting, Perak hanya mampu memproses kira-kira 5,000 tan metrik madu setahun manakala kira-kira 200 tan metrik madu setahun diperolehi daripada penternak komersial secara kontrak di seluruh negara.

“Kita juga terpaksa mengimport dari Chiang Mai, Thailand namun agak sukar mengeksport hasil menggunakan madu import kerana kualitinya berbeza daripada madu tempatan yang lebih baik,” katanya kepada Bernama di sini.

Menurut Yan, pihaknya turut melakukan pelbagai usaha termasuk bekerjasama dengan Malaysian Biotechnology Corporation Sdn Bhd (BiotechCorp) bagi menarik masyarakat menceburi bidang penternakan lebah secara komersial.

Bantuan disalurkannya adalah dari segi kepakaran dan latihan kepada peserta terbabit.

Syarikat itu turut menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi menceburi industri penternakan komersial dengan menyediakan tanah seluas sekurang-kurangnya 0.4 hektar (1 ekar) dan mempunyai pokok akasia dan gelam sebagai sumber makanan lebah.

“Setiap 0.4 hektar boleh menampung 3,000 kotak lebah yang mampu menghasilkan kira-kira 2,000 tan metrik madu setahun,” katanya.

Beliau turut mengingatkan, penternakan lebah madu memerlukan komitmen tinggi penternak walaupun tidak memerlukan banyak masa bagi pemantauan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BiotechCorp Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal berkata kerjasama dengan Flora Bee Hive adalah menerusi Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi (BCDP) melalui dana Inovasi Sosial Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi meningkatkan pengeluaran madu tempatan bagi pasaran dalam negara dan antarabangsa.

“Agak sukar bagi kita melihat (produk) madu tempatan di pasar raya dan kebanyakannya adalah madu import.

“Oleh itu, antara peranan BiotechCorp adalah menambah penghasilan madu yang tidak hanya dapat meningkatkan taraf hidup dan ekonomi peserta, malah pendapatan negara,” katanya.

Mengulas program BCDP, beliau berkata sebanyak 23 projek bioteknologi dilaksanakan termasuk penanaman herba, cendawan, ternakan tiram dan lebah madu.

Bagi penternakan lebah, ia melibatkan lebih 300 petani dan mampu menambah purata pendapatan peserta sebanyak RM4,300 sebulan.

Pihaknya turut menyasarkan 56 projek lagi menerusi BCDP yang melibatkan 3,500 petani dalam tempoh lima tahun, mulai tahun ini.

CATEGORIES