Lebuhraya Latar, Sprint ditutup sementara

Lebuhraya Latar, Sprint ditutup sementara

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Lebuhraya KL-Kuala Selangor (Latar) yang dikendalikan KL-Kuala Selangor Expressway Bhd akan ditutup kepada lalu lintas dari 3 pagi hingga 1 tengah hari pada 25 Sept untuk memberi lauan kepada Latar 99km Healthy Ride.

Ketua Pegawai Operasinya, Ahmad Fuad Ahmad Shahimi, berkata laluan bagi acara berbasikal itu melibatkan sepanjang lebuh raya berkenaan di kedua-dua hala dari Persimpangan Bertingkat Taman Rimba Templer hingga ke hujungnya di Persimpangan Bertingkat Ijok dan di sepanjang 30km jalan luar bandar yang bersambung dengannya.

“Pada hari acara itu berlangsung, Laluan Persekutuan (FT54) Jalan Kuala Selangor-Kepong dari Persimpangan Bertingkat Ijok menghala ke Simpang Tiga Assam Jawa akan ditutup dari 7 hingga 10 pagi bagi memudahkan pergerakan penunggang menuju ke Jalan Simpang Tiga Jeram.

“Sebagai alternatif, pengguna dari Ijok ke Kuala Selangor boleh menggunakan Jalan Bukit Badong menghala ke Jalan Rawang-Bestari Jaya dan terus ke Jalan Klang-Teluk Intan di pekan Kuala Selangor atau sebaliknya.

Pengguna dari Klang dan Kuala Selangor pula yang ingin ke Ijok boleh menggunakan Jalan Rawang-Bestari Jaya ke Jalan Bukit Badong,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad berharap pengguna bersabar dengan kesukaran yang dialami berikutan penutupan sementara lebuh raya dan jalan berkenaan.

Manakala laluan menuju Kuala Lumpur di Lebuhraya Sprint Highway berdekatan Restoran Victoria Station akan ditutup selama lima hari mulai Sabtu ini.

Menurut kenyataan MMC-Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd hari ini, laluan itu ditutup mulai 10 malam hingga 6 pagi bagi memudahkan kerja-kerja memasang gantri dan penandaan garisan jalan.

Berikutan itu, pengguna jalan raya dari Petaling Jaya menuju ke Kuala Lumpur akan dilencongkan ke Jalan Kasah sebelum menuju terus ke Jalan Semantan untuk ke Kuala Lumpur.

Pengguna jalan raya dari Petaling Jaya menuju ke Bangsar/Jalan Ma’arof pula akan dilencongkan ke Jalan Kasah dan Pusat Bandar Damansara, sebelum memasuki Jalan Johar dan melalui laluan kiri di bawah jejambat SPRINT untuk ke Jalan Ma’arof dan ke Bangsar.

TAGS