Lelaki mengaku bersalah miliki bahan berkaitan Daesh

Lelaki mengaku bersalah miliki bahan berkaitan Daesh

Seorang pekerja am sebuah resort mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh, bulan lepas.

Mohd Firdaus Saibi, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan memiliki 29 keping imej dan 240 video dalam telefon bimbitnya berkaitan pengganas Daesh atau mempunyai unsur perbuatan keganasan itu di hadapan sebuah resort peranginan di Kampung Sedili Kecil dekat sini pada 4.20 petang 21 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak ke atas mana-mana bahan terbabit, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada hukuman dijatuhkan terhadap tertuduh hari ini kerana kes akan disebut semula 21 Mei ini.

TAGS