Leman: Dari ‘raja lawak’ kepada ‘pembela rakyat’

Leman: Dari ‘raja lawak’ kepada ‘pembela rakyat’

Sejak tertubuhnya Amanah, Sulaiman Ibrahim yang kini dikenali Leman Raja Lawan, adalah antara pihak paling sibuk dalam parti baru itu.

Tambah-tambah lagi apabila beliau dilantik sebagai ketua Amanah kawasan Sik, antara kawasan paling mundur dan miskin di negara ini.

Hampir setiap minggu team beliau akan turun berjumpa dengan penduduk kampung bagi menghulurkan bantuan kepada mereka.

Kerana aktiviti Leman dan teamnya Amanah Sik dikenali antara kawasan Amanah yang paling aktif di Malaysia ketika kajian mendapati masalah paling besar kepada parti baru itu adalah ‘visiblelity’nya di akar umbi.

SIK TERMISKIN

Leman dan teamnya sentiasa membantu dan mendoakan agar penduduk Sik sentiasa baik.

Bagi Leman, sebabnya mudah saja kenapa beliau sangat aktif membantu penduduk kawasannya.

Kerajaan Negeri Kedah gagal untuk membela nasib golongan miskin khususnya penoreh getah dalam kawasan Sik.

Lebih perit lagi apabila terdapat hampir 75 peratus penoreh getah di kawasan tersebut berpendapatan di bawah RM700.

Dengan pendapatan yang begitu minima serta tidak menentu menyebabkan ramai yang berada di bawah kategori miskin tegar.

Namun begitu nasib mereka tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya dari kerajaan Barisan Nasional yang sedang memerintah.

Sebelum ini, Sulaiman dikenali sebagai Leman Raja Lawak selepas beliau menjadi finalis pertandingan itu.

Selepas aktif politiklah beliau dikenali Leman Raja Lawan di atas segala kebejatan yang ada di negara ini.

Bagi Leman, kegagalan kerajaan negeri untuk membela nasib golongan tersebut menyebabkan ramai antara mereka yang masih lagi hidup seperti sebelum merdeka.

“Masih ramai lagi dalam Parlimen Sik, Kedah yang masih tinggal dalam rumah sekangkang kera yang hanya berlantaikan batang batang getah.

“Terdapat antara mereka yang masih lagi berdindingkan atap rumbia tanpa bekalan elektrik, sedangkan negara akan merayakan ulang tahun kemerdekaan yang ke 60 tidak lama lagi.

“Lebih menyedihkan apabila masih wujud rumah mereka yang tidak mempunyai bilik, sedangkan anak ramai, ” jelasnya lagi.

Malah katanya terdapat juga antara penduduk dalam kawasan Parlimen Sik yang tinggal dalam rumah yang berdinding dan berlantaikan batang buluh.

“Tidak dapat dinafikan masih ada antara keluarga miskin tegar tersebut, rumah mereka tidak mempunyai pintu.

“Ada yang hanya terpaksa menggunakan kain atau plastik sebagai pintu kerana terlalu susah tanpa pendapatan yang tetap.

“Kenapa kerajaan negeri tidak mencari jalan untuk membantu golongan tersebut untuk meningkatkan ekonomi mereka, sedangkan kerajaan mempunyai dana dan peruntukan untuk disalurkan, ” tegasnya.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri yang dipimpin oleh BN kini tidak menyediakan peluang pekerjaan sebaik mungkin bagi membantu golongan miskin tersebut termasuklah generasi kedua yang terdiri dari lepasan sekolah.

“Mana ada industri atau kilang di Parlimen Sik bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk kawasan tersebut.

“Pelaburan pun tidak ada yang disediakan oleh kerajaan negeri dalam kawasan ini, walaupun begitu lama BN menerajui Kedah.

“Tiada usaha kerajaan negeri pimpinan Ahmad Bashah sebagai Menteri Besar bagi meningkatkan pendapatan sehingga menyebabkan ramai anak muda menganggur, ” katanya.

Oleh kerana itu tegasnya, mengekalkan kerajaan BN yang ada kini dalam pilihan raya umum ke 14 yang akan datang, akan menambah beban serta memiskinkan lagi rakyat melalui pelbagai polisi yang menekan sehingga menjadikan rakyat papa kedana.

Leman berjanji akan terus melawan segala kebejatan kerajaan BN dan membela rakyat di kawasannya dengan segala kemampuan yang ada.

 

TAGS