Leman:  Dari Raja Lawak ke Raja Lawan Kemiskinan di Sik

Leman: Dari Raja Lawak ke Raja Lawan Kemiskinan di Sik

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Laungan ‘BN menang, Kedah Senang’ hanyalah retorik parti pemerintah bagi mendapat kuasa semata-mata.

Sebaliknya kepedulian kerajaan negeri terhadap rakyat Kedah yang miskin dan melarat masih lagi di tahap yang amat mengecewakan.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) kawasan Sik, Sulaiman Ibrahim ketika turun padang mendekati golongan miskin dan daif di kawasan Dun Belantek dan Jeneri.

Sebelum ini, Sulaiman terkenal sebagai Leman Raja Lawak tetapi selepas keluar dari Pas dan akhtif dengan Amanah, dia kini sudah dikenali Leman Raja Lawan.

Dulu beliau melawan BN, tetapi kini yang beliau lawan adalah kemiskinan yang melanda orang kampung dan penduduk Sik, kawasan Amanah yang beliau ketuai.

Dalam program turun padang menemui penduduk miskin lagi daif dalam kawasan Sik, Sulaiman turut menyelami suka duka penduduk yang ternyata tidak dibela oleh kerajaan BN yang memerintah Kedah.

Sulaiman menyampaikan sumbangan selepas menziarahi Mohd Syarifudin Mohd Sabri.Masih ramai penduduk yang tidak mempunyai bekalan air bersih dan juga bekalan elektik, walaupun negara telah mencapai kemerdekaan yang begitu lama.

“Kerajaan negeri selalu melaung-laungkan kalau BN menang, Kedah senang.

“Tapi sampai sekarang masih ramai penduduk dalam kawasan BN sendiri, khususnya dalam Parlimen Sik yang hidup melarat tanpa pembelaan.

“Penduduk ada yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, tapi tidak diberi perhatian oleh kerajaan negeri,” ujarnya.

Rentetan itu Parti Amanah Negara kawasan Sik, tanpa mempedulikan masa dan ketika terus turun padang menyantuni penduduk yang sering meluahkan keperitan hidup mereka.

Salah seorang penduduk yang ditemui, Ishak Latif, 38 tahun dari Kampung Sungei Seputeh, Jeneri berkata, beliau hanya mengharapkan pendapatan sebagai penoreh getah.

“Sehari saya mampu memperolehi RM15 dengan mengambil upah menoreh getah.

“Wang tersebut jugalah digunakan untuk wang saku anak yang bersekolah dalam tahun satu dan tahun empat.

“Baki duit tersebut kemudian digunakan pula bagi mengisi petrol motosikal, untuk menoreh dan menghantar serta menjemput anak dari sekolah, ” jelasnya ketika ditemui.

Lebih menyedihkan katanya, mereka sekeluarga terpaksa mengikat perut setiap hari dengan menjadikan ikan masin sebagai juadah.

“Ulam-ulaman yang tumbuh menjalar akan dikutip untuk dijadikan sayur-sayuran.

“Untuk makan ayam sebulan sekali pun amat sukar bagi kami sekeluarga.

“Apa lagi untuk merasa daging yang jarang-jarang sekali dapat kami rasakan, ” keluhnya yang turut mempunyai dua orang lagi anak berusia satu dan empat tahun.

Ujarnya lagi, kesan dari kemiskinan yang melarat, mereka terpaksa juga tinggal dalam rumah yang hanya menggunakan bekalan air dari kaki bukit.

Manakala seorang lagi penduduk, Mohd Syarifuddin Mohd Sabri, 28 tahun, terpaksa tinggal dalam rumah yang hanya sekangkang kera tanpa bilik.

Rumah yang berlantaikan batang getah dan berdindingkan buluh itu sahaja yang mampu dimiliki bagi menampung kehidupan beliau bersama isteri dan seorang anak berusia tiga tahun.

Kanak kanak miskin di Sik kini mendapat pembelaan dari Sulaiman, raja lawak yang kini bertukar menjadi raja lawan kemiskinan.“Kerja saya hanya menoreh getah dengan pendapatan tidak sampai dua puluh ringgit sehari.

“Walaupun terpaksa makan nasi dengan telur setiap hari, itu sudah amat besar bagi kami sekeluarga.

“Nak rasa makan daging pun hanya setahun sekali, itu saja yang kami mampu, “katanya yang tidak pernah mendapat bantuan dari mana-mana agensi kerajaan negeri.

Menurut Sulaiman lagi, Parti Amanah Negara kawasan Sik tanpa batas dan had waktu meneruskan tugas untuk mendengar rintihan penduduk khususnya dalam kawasan saban waktu.

“Kita tidak akan turun padang secara berkala atau bermusim.

“Nak bela rakyat, jangan tengok musim pilihan raya semata-mata.

“Jika dah dengar dan tahu, ada penduduk yang memerlukan, Parti Amanah Negara senantiasa terbuka untuk membantu siapa sahaja samada siang maupun malam, ” tambahnya lagi.

TAGS