Lembaga penyiasat TUDM akan kenalpasti punca kemalangan pesawat

Lembaga penyiasat TUDM akan kenalpasti punca kemalangan pesawat

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Lembaga penyiasatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melakukan siasatan untuk mengenalpasti punca pesawat malang Beechcraft King Air 200T yang terhempas ketika sesi latihan di Pangkalan TUDM di sini petang tadi.

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang berkata, pesawat itu berusia lebih 20 tahun tetapi tidak pernah mempunyai rekod masalah enjin dan sentiasa diselenggara mengikut jadual.

“Walaupun berusia 20 tahun, namun ia tidak mempunyai masalah enjin dan keadaan cuaca juga tidak menjadi masalah kepada sesi latihan itu (hari ini),” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa-mangsa tragedi malang itu di Hospital Seberang Jaya.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mahu siasatan menyeluruh dilakukan terhadap nahas pesawat jenis Beechcraft B200T yang terhempas berhampiran Terminal Peluru, Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang, semalam.

Menurut portal rasmi TUDM, pesawat itu digunakan oleh 16 Skuadron dalam melakukan tugas Penerbangan Pengawasan Maritim yang berpangkalan di Pangkalan Udara Subang.

Tugas utama 16 Skuadron adalah memberi amaran awal atau melapor segera pengenalan kapal-kapal di perairan dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Skuadron ini juga mengawasi dan melapor kegiatan di kawasan pelantar minyak dan zon menangkap ikan, mengawasi dan meronda kawasan terumbu yang diduduki dan dituntut serta mengawasi dan melapor kemasukan pendatang tanpa izin dan juga aktiviti pencemaran laut.

Setakat ini 16 Skuadron telah banyak membantu agensi-agensi kerajaan yang lain dalam mengurangkan jenayah dan penyeludupan di perairan ZEE.

Dalam kejadian berlaku semalam seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut manakala tiga lagi cedera apabila pesawat jenis Beechcraft B200T yang dinaiki mereka terhempas berhampiran Terminal Peluru Pangkalan Udara Butterworth.

 

TAGS