Guan Eng patut beri penjelasan di Parlimen bukan di Komtar, kata Reezal

Guan Eng patut beri penjelasan di Parlimen bukan di Komtar, kata Reezal

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sepatutnya memberi penjelasan berhubung isu pembelian rumah jenis banglo di Parlimen Isnin ini dan bukannya bersemuka dengan anggota Parlimen Tasek Gelugur Datuk Shabuddin Yahaya di Komtar, Ahad ini, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican.

Katanya, Guan Eng wajar membuat penjelasan secara ‘gentleman’ di Parlimen kerana minggu depan akan bermulanya penggulungan di mana Guan Eng boleh mencelah dengan memberi penjelasan berhubung pembelian rumah berkenaan yang jauh lebih rendah berbanding nilai pasaran semasa.

“Saya hairan kenapa Lim mahu mencabar Shabuddin pada Ahad ini, sepatutnya beliau memberi penjelasan di Parlimen yang akan bersidang Isnin ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno cawangan dalam bahagian Marang semalam.

Katanya isu itu timbul berikutan tindakan Shabuddin mengemukakan soalan itu ketika perbahasan titah diraja kepada tiga Kementerian iaitu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kewangan (Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Reezal berkata , pada hari Isnin ini, ada menteri-menteri yang akan melakukan penggulungan dan Guan Eng boleh mencelah untuk membuat penjelasan.

Semalam  Guan Eng, dalam satu kenyataan mendakwa beliau menjadi mangsa fitnah sekali lagi. Kali ini berhubung rumah yang dibelinya yang didakwa mempunyai unsur rasuah, sedangkan ia hanya tuduhan palsu yang pernah dibangkitkan sebelum ini.

Menurut Guan Eng, isu yang dimainkan oleh Barisan Nasional (BN) berhubung tanah di Taman Manggis yang dikaitkan dengan pembelian rumah tersebut adalah isu lama, dan pernah dimainkan oleh BN sebelum pilihanraya umum 2013.

Justeru Guan Eng menjemput Shabudin yang juga Pengerusi PERDA untuk bersemuka dalam pertemuan empat mata berdasarkan fakta dan angka, pada jam 11 pagi Ahad ini (20 Mac) di hadapan media massa di pejabatnya di Komtar.

TAGS