Lima NGO desak kerajaan haramkan filem ‘Pekak’

Lima NGO desak kerajaan haramkan filem ‘Pekak’

Lima pertubuhan diwakili Persatuan Ibubapa Anak Masalah Pendengaran Malaysia (Hear Me) mendesak Lembaga Penapisan Filem (LPF) mengharamkan filem ‘Pekak’ daripada tayangan umum di negara ini.

Presidennya, Norziba Fazlina Abdul Ghani berkata, filem tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak termasuk ahli persatuan berkenaan yang mempunyai anak mengalami masalah pendengaran.

“Sejujurnya menurut pendapat kami, filem ini sangat tidak sesuai untuk ditayangkan. Selain dipenuhi dengan adegan tidak bermoral seperti dadah, mencuri, pergaulan bebas, keganasan dan rokok, filem Pekak ini seakan-akan memperlekehkan kedudukan dan maruah orang kelainan upaya (OKU) pendengaran,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Beliau memberitahu realiti sebenar kehidupan majoriti OKU pendengaran adalah jauh berbeza daripada filem terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd dan Lightbulb Pictures itu.

“Hear Me mengumpulkan ibu bapa yang mempunyai anak bermasalah pendengaran dan majoriti daripada anak-anak kami sama ada memakai alat bantuan pendengaran (hearing aids) atau implan koklea seperti yang digunakan pelakon Zahiril).

“Malangnya, informasi berkenaan implan koklea dan juga jalan cerita dalam filem ini kurang tepat dengan fakta dan realiti serta tidak membantu meningkatkan pengetahuan dan kesedaran penonton tentang isu masalah pendengaran dan secara khususnya implan koklea,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Fazlina berkata, filem itu juga dibimbangi merosakkan pandangan masyarakat terhadap mereka yang memakai implan koklea apabila dikaitkan dengan kegiatan haram seperti dadah dan seks terbuka.

“Ini bakal mengganggu emosi anak-anak implan koklea yang akan membesar dengan tanggapan masyarakat yang serong terhadap mereka,” jelasnya dalam kenyataan yang turut disokong oleh Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (Ikram Health).

Turut menyokong Wanita IKRAM Malaysia, Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA) dan Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA).

Sehubungan itu, pertubuhan terbabit juga menggesa pihak penerbit dan pengarah filem Pekak untuk memohon maaf secara terbuka kerana telah memalukan dan menjatuhkan maruah golongan OKU pendengaran terutama mereka yang memakai implan koklea.

“Kehidupan sebagai seorang OKU pendengaran sudah pun sedia penuh dengan cabaran dan dugaan menghadapi masyarakat Malaysia yang masih lagi kurang pendedahan terhadap keadaan dan situasi mereka. Tidak perlulah pihak penerbitan filem membantu untuk menambahkan lagi masalah kepada mereka,” ujar mereka lagi.

Untuk rekod, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Brunei pada 23 Ogos lalu tidak meluluskan tayangan filem Pekak di negara itu antara lain kerana boleh memberi pengaruh tidak baik kerana memaparkan adegan menghisap dadah, penjualan dadah, pergaulan bebas, keganasan dan wanita menghisap rokok.

TAGS