Logo apa pun tak apa, kata Mohamad Sabu

Logo apa pun tak apa, kata Mohamad Sabu

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu tidak kisah mengenai logo Pakatan Harapan yang dikemukakan asalkan mendapat persetujuan ramai.

Beliau berkata, kritikan mengenai cadangan logo Pakatan Harapan baru-baru ini adalah perkara biasa.

“Bagi saya cap apa pun tak apa kerana itu hanya pandangan orang. Macam kami Amanah sebelum ini ada orang kata ini daripada televisyen Indialah, tapi sekarang dah tak ada masalah. 

“Simbol PKR di peringkat awal pun begitu juga, tak ada masalah. Simbol ini apa pun boleh, cuma kita minta persetujuan lebih ramailah, itu sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Parti Amanah Negara hari ini.

Pakatan Harapan semalam mengumumkan telah menerima lebih daripada 130 cadangan logo bagi digunakan dalam pilihan raya akan datang selepas mengalu-alukan cadangan daripada orang ramai.

Baru-baru ini selepas naib Presiden PKR Rafizi Ramli memuat naik di laman facebooknya tiga contoh logo Pakatan Harapan untuk dipilih, ia mendapat kutukan dan sindirian warga maya.

Tiga cadangan logo Pakatan Harapan yang menerima kritikan warga maya

Kebanyakan mereka sependapat logo Pakatan Harapan tidak menepati citarasa anak muda dan tiada nilai artistik dari segi reka bentuk logo yang terlalu ringkas.

TAGS