Lombong bauksit dibangun jadi kawasan industri

Lombong bauksit dibangun jadi kawasan industri

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Bekas lombong bauksit di Felda Bukit Goh di Kuantan mungkin dibangunkan sebagai kawasan industri jika tanah di situ tidak lagi sesuai untuk tanaman kelapa sawit merupakan alternatif yang dipertimbangkan bagi membantu peneroka selepas aktiviti perlombongan selesai.

 

Bekas lombong bauksit di Felda Bukit Goh di Kuantan mungkin dibangunkan sebagai kawasan industri jika tanah di situ tidak lagi sesuai untuk tanaman kelapa sawit merupakan alternatif yang dipertimbangkan bagi membantu peneroka selepas aktiviti perlombongan selesai.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Negeri Pahang Datuk Abu Bakar Harun berkata  akan ada usaha sama dengan pemilik tanah bagi tujuan kawasan industri.

“Jika sesuai untuk kawasan industri, kita mungkin buat usaha sama dengan tuan tanah berserta persetujuan kerajaan negeri dan Felda bagi memastikan peneroka mendapat manfaat, jika tanah itu tidak sesuai untuk tanam semula,” katanya.

Abu Bakar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Penutup Program Khidmat Masyarakat (CSR) Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) di pusat jagaan kucing D’Kucing Valley Hajah Maimudah di Felda Chini 4 di hari ini.

Ditanya mengenai pendapat beberapa profesor sebelum ini yang mendakwa lombong bauksit tidak sesuai dimajukan ekoran struktur tanahnya telah diganggu, Abu Bakar menjelaskan perkara itu akan diserahkan kepada pemaju.

“Mereka (pemaju) tahu apa yang perlu dibuat. Jika tidak, apa kita nak buat pada tanah itu? Kalau peneroka ada deposit tanam semula dan dapat kontraktor bertanggungjawab yang boleh kambus semula tanah (selepas mengorek bauksit), ia boleh digunakan tanam sawit.

“Tapi ada juga kontraktor yang tidak bertanggungjawab. Lepas korek (bauksit), terus lari dan tidak beri deposit. Ini menimbulkan masalah pada tuan tanah. Kita ambil maklum dan cuba untuk bantu mereka…bukan kita berdiam diri,” katanya.

Abu Bakar berkata setakat ini, seramai 205 peneroka daripada 600 peneroka terlibat dengan aktiviti perlombongan bauksit melibatkan keluasan tanah sebanyak 2,050 ekar.

Menurutnya kerajaan negeri dan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob akan mengadakan perjumpaan dengan peneroka terlibat sebelum tamatnya tempoh moratorium pada 15 April ini bagi menerangkan situasi sebenar kepada mereka.

“Perjumpaan itu juga melibatkan peneroka yang tidak terbabit dengan perlombongan bauksit kerana pandangan semua pihak diperlukan bagi memastikan tiada masalah berbangkit, jika kebenaran melombong bahan galian itu diberikan semula,” katanya.

 

 

TAGS