Lutfi: Dari Jalan Pahang Barat ke Medan Idaman

Lutfi: Dari Jalan Pahang Barat ke Medan Idaman

Saya mula tahu mengenai Ahmad Lutfi Othman melalui akhbar mingguan Watan pada tahun 1985. Beliau sebagai Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia (PMIUTM) kerana membela lebih sepuluh pelajar berpurdah yang dipecat pengajian kerana melanggar peraturan berpakaian.

Saya mula tahu mengenai Ahmad Lutfi Othman melalui akhbar mingguan Watan pada tahun 1985. Beliau sebagai Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia (PMIUTM) kerana membela lebih sepuluh pelajar berpurdah yang dipecat pengajian kerana melanggar peraturan berpakaian.

Kemudian saya terkesan juga beliau memilih untuk menjadi wartawan, walaupun mengikuti pengajian kejuruteraan awam di UTM, apabila mendapati tulisannya dalam Mingguan Tanah Air, tabloid politik pimpinan Ikhwan Nasir.

Pertama kali saya melihat Ahmad Lutfi ialah pada tahun 1987 apabila dia diminta oleh Subky Abd Latiff supaya mengambil sebuah rencana daripada saya, Saya tunggu di perhentian bas berhampiran Masjid Al-Akram, Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Maka nampaklah saya Ahmad Lutfi datang dengan motosikal untuk berjumpa saya.

Waktu kali kedua ialah pada Jun tahun yang sama di pejabat Harakah yang terletak di atas Pejabat Agung PAS di Jalan Pahang Barat.

Masa itu saya melaporkan diri kepada Subky, Pengarang Harakah untuk bekerja di situ. Beliau memanggil Ahmad Lutfi dan Zulkifli Sulong sebagai pemberita-pemberita yang perlu saya ketuai.

Sejak itu hubungan antara saya dengan Ahmad Lutfi terjalin. Kehadiran saya di Harakah adalah bermulanya gaji dibayar kepada para pemberita.

Untuk beberapa bulan sebelum itu pemberita seperti Ahmad Lutfi hanya diberi tempat tinggal di bilik atas dan makan nasi bungkus. Harakah bermula dengan modal kosong.

Selain Harakah, para petugas di situ perlu juga menerbitkan majalah Al-Muslimah. Maka umumnya tumpuan kerja Lutfi adalah menjadi Pengarang Al-Muslimah, ruangan siswa dan rencana. Tetapi hakikatnya bakti Ahmad Lutfi adalah lebih banyak daripada itu.

Subky menyatakan bahawa untuk mencari dana bagi kelangsungan Harakah, para pemberita mesti juga menulis untuk penerbitan apa yang dipanggil sebagai isu, iaitu penerbitan dalam bentuk majalah tetapi tidak berkala, dan tidak memerlukan permit penerbitan daripada Kementerian Dalam Negeri.

Maka isu pertama yang kami hasilkan bersama ialah mengenai Memali. Kedua ialah mengenai haji dan politik. Seringkali Ahmad Lutfi akan menulis dari sudut politik dalam negeri, dan saya luar negeri.

Isu mengenai Memali berwarna kuning. Di luar ada gambar Ibrahim Libya dan grafik percikan darah. Sementara isu mengenai haji dan politik yang terinspirasi daripada demonstrasi jemaah haji Iran di Makkah memaparkan gambar para penunjuk perasaan.

Buku Lorong Sunyi Media BebasKerjasama sebegini diteruskan walaupun semasa Ahmad Lutfi sudah berhenti daripada Harakah dan aktif menerbitkan buku dan isu melalui syarikat miliknya, Penerbitan Pemuda.

Dua isu yang mendapat sambutan ialah mengenai Memali. Dan satu lagi mengenai Anwar dan hal ehwal luar, mengenai Iran. Yang mengenai Memali adalah sempena ulang tahun ketiga peristiwa itu.

Kulitnya berwarna hijau dengan lakaran wajah Ibrahim Libya yang dibuat oleh pelukis Grup Teater Elit (GTE) pimpinan Dinsman.

Terbitan itu kami namakan Isu. Reka bentuknya kami buat seperti majalah Far Eastern Economic Review. Ia memaparkan reka bentuk dua tumpuan tulisan di dalamnya. Di sebelah kiri ialah mengenai Anwar. Lakaran wajahnya juga dibuat oleh pelukis GTE yang sama seperti isu mengenai Memali sebelum itu. Sementara yang sebelahnya ialah mengenai perkembangan politik Iran. Maka gambar yang kami pilih ialah wanita Iran sedang berdemonstrasi.

Lutfi juga membawa saya untuk diperkenalkannya kepada Dinsman yang mempunyai berpejabat di Plaza Pekeliling. GTE ketika itu adalah juga firma perunding iklan dan perhubungan awam. Antara pemegang sahamnya ialah Usman Awang dan Sutung Umar.

Pada masa itu saya menyewa di rumah pangsa empat tingkat yang dikenali sebagai Flat Baitulmal, sememangnya milik Baitulmal, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bersebelahan dengan Masjid Al-Akram, Datuk Keramat Kuala Lumpur.

Ahmad Lutfi pula masih bujang. Beliau tinggal dengan menyewa bersama rakan-rakan UTM-nya juga di Kampung Datuk Keramat. Maka kebanyakan hari, beliau akan datang dengan motosikalnya dan mengambil saya untuk pergi kerja di pejabat Harakah yang terletak di Jalan Pahang Barat.

Aktiviti hujung minggu kami ialah bermain badminton di sebuah gelanggang taman perumahan di Danau Kota. Saya juga diperkenalkan oleh Lutfi kepada kawan-kawannya di rumah yang disewa beramai-ramai. Kebanyakan mahasiswa dan lepasan UTM.

Ahmad Lutfi juga mengajak saya menyertai kawan-kawannya untuk menggerakkan semula PAS Cawangan Keramat Luar yang sudah tidak aktif. Maka cawangan itu dianggotai oleh kawan-kawannya, lepasanm UTM. Walaupun saya bukan dari kalangan kawan-kawan UTM-nya, tetapi saya dipilih sebagai Setiausaha Cawangan yang pertama.

Antara ideanya yang komited untuk membela mangsa ISA termasuklah mewujudkan dana sumbangan tetap bulanan ahli-ahli cawangan bagi membantu mangsa Memali.

Semasa perselisihan berlaku antara Subky dan Nakhaie Ahmad, kami dan juga Zulkifli Sulong menyebelahi Subky. Zulkifli minta dipindahkan ke Kuala Terengganu dan membuka pejabat biro Harakah di sana, sementara saya dan Ahmad Lutfi meninggalkan Harakah. dan mengundurkan diri. Kami menggerakkan penerbitan kami masing-masing; saya, Penerbitan Zin dan Ahmad Lutfi, Penerbitan Pemuda.

Penerbitan Pemuda menerbitkan isu-isu dan buku politik. Seringkali saya akan menyumbang tulisan separuh dari kandungan isu dan bukunya. Sementara saya menerbitkan majalah Dunia Islam. Kami guna khidmat syarikat tataletak yang sama di Damansara. Ahmad Lutfi jugalah yang membawa saya dengan motosikal untuk memperkenalkan syarikat tataletak itu.

Setelah setahun berlalu, Nakhaie keluar PAS dan teraju Harakah dipegang oleh Daeng Sanusi Daeng Mariok selaku Ketua Penerangan PAS Pusat yang baru dilantik. Itu pada Julai 1989. Beliau memanggil balik Subky dan orangnya di Harakah termasuklah saya, Zulkifli dan Ahmad Lutfi. Hussein Yaakob dilantik sebagai Ketua Pengarang, saya sebagai timbalannya. Zulkifli menjadi Ketua Pemberita. Ahmad Lutfi menjadi Pengarang Rencana dan Majalah. Ahmad Lutfi juga menjadi editor majalah Muslimah dan Dunia Islam.

Bila dilihat kembali zaman itu, saya berasa bahawa beliau komited terhadap kerjanya, baik dalam bidang penulisan mahupun perjuangan. Masa, tenaga dan wang ringgit adalah digunakan untuk perjuangan melalui kewartawanan. Selain itu, hubungannya dengan semua pihak di kelilingnya sentiasa dijaga baik walaupun beliau mempunyai sikap keras dan radikal.

Tentulah antara saya dan beliau terdapat perbezaan pandangan dan penirian mengenai pelbagai isu. Dengan latar belakang yang berbeza, pandangan yang terbentuk pasti berlainan. Tetapi kami tidak pernah bertembung. Banyak masa saya rasa beliau lebih radikal dengan mengambil risiko besar sedangkan saya lebih cenderung untuk berhati-hati dan mematuhi semua peraturan. Namun saya tidak pernah bertikam lidah dengannya atau berselisih faham.

Pada keseluruhannya, beliau lebih tradisional, konvensional dan konservatif dalam pandangannya terhadap gerakan Islam. Tetapi saya ketika itu lebih cenderung pada pemikiran Revolusi Islam Iran. Tetapi kami saling hormat-menghormati dan memberi ruang kepada pandangan masing-masing. Saya tidak pernah memotong atau menyunting buang artikel-artikelnya dalam Harakah dan majalah walaupun ada masa saya tidak bersetuju dengannya. Begitu juga dengan beliau yang sentiasa memberi ruang penerbitannya untuk tulisan saya tanpa sebarang pertikaian.

Sikapnya inilah yang saya percaya telah membuatkan beliau mempunyai banyak kawan, sekurang-kurangnya jika berbanding dengan saya. Kesetiaan Ahmad Lutfi pada kawan-kawannya amat saya kagum dan tidak berjaya saya turutkan. Antaranya ialah komitmennya terhadap membela keluarga mereka yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Selain daripada kawan-kawan bekas UTM yang diperkenalkan pada saya, terdapat juga orang lain yang tanpa beliau, tidak akan saya kenali. Antaranya ialah Cikgu Non (Zainon Ismail) yang banyak terlibat dengan membantu mangsa-mangsa Memali dan juga peguam Baharuddeen Abu Bakar, yang rajin berkunjung ke Harakah.

Kesanggupan Ahmad Lutfi membantu Cikgu Non menerbitkan bukunya (termasuk mengenai perjuangan rakyat Malaysia di Afghanistan) juga memperlihatkan komitmen beliau terhadap usaha membela mangsa ISA dan Memali. Begitu juga kesabarannya melayan peguam Baharuddeen untuk menulis artikel bersiri mengenai undang-undang dan perlembagaan khususnya mengenai isu pemecatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas dalam Harakah. Saya tidak akan mampu melayan cara menulis peguam Baharuddeen yang menuntut Lutfi duduk di sebelahnya hingga larut malan banyak menyiapkan artikel. Baharudddeen, yang agak kurang fasih berbahasa Melayu pada awalnya, menyampaikan idea melalui lisan dan Ahmad Lutfi menaipnya, sambil membetulkan tata bahasa dan susunan ayatnya.

Tetapi dari kesanggupan beliau menulis untuk Baharuddeen seperti itulah yang akhirnya menjadikan Ahmad Lufti sebagai seorang penerbit buku. Tulisan Baharuddeen menjadi buku pertama syarikat penerbitannya iaitu Penerbitan Pemuda, dengan judul Islam, Kehakiman dan Kediktatoran: Kes Tun Salleh Abas. Baharuddeen juga membantu Ahmad Lutfi menulis makalah mengenai Operasi Lalang 1987.

Pada tahun-tahun itu, sudah menjadi lumrah Ahmad Lutfi dan petujas-petugas Harakah lain tidur di pejabat pada waktu deadline penerbitan akhbar itu. Walaupun meletihkan, berada di pejabat sepanjang malam telah mengentalkan semangat juang para petugas di samping mengukuhkan ukhuwah sesama petugas.

Satu lagi contoh kesetiaan beliau bersahabat ialah dengan Allahyarham Samsuri Roslan dan Saifudin Nasution Ismail. Sebenarnya banyak lagi kawan-kawannya tetapi yang saya kenal secara peribadi ialah Samsuri dan Saifudin. Saya kenal Samsuri, bekas wartawan Watan, semasa saya menjadi pemberita Utusan lagi iaitu semasa pilihan raya umum tahun 1986. Sementara saya kenal Saifudin, pernah menjadi Penolong Setiausaha Pemuda Umno zaman Zahid Hamidi dan kini Setiausaha Agung KeADILan, ketika saya belajar di Universiti Pertanian Malaysia (UPM). Namun, bagaimana kesetiaan beliau terhadap Samsuri hingga ke akhir hayat dan juga persahabatannya dengan Saifudin juga adalah sesuatu yang saya kagum dan tidak akan dapat melakukannya.

Ketika Daeng Sanusi mengambil alih Harakah, turut dibawa masuk ialah Dr Abd Wahab Ismail seorang eksekutif korporat yang bekerja dengan Proton. Beliau berperanan besar memulihkan Harakah setelah lumpuh ekoran masalah pengurusan sebelumnya. Cara pemulihan ini termasuklah disiplin korporat yang hendak diterapkan dalam Harakah supaya perusahaan ini dapat mendatangkan keuntungan.

Masa itu Hussein Yaakob telah meninggalkan Harakah, antara lain kerana tidak bersetuju dengan cara kerja saya yang berusaha untuk juga menerapkan disiplin kewartawanan dalam Harakah di samping mematuhi garisan yang ditetapkan parti. Daeng Sanusi pun melantik saya sebagai Ketua Pengarang Harakah dengan sokongan parti. Saya dan Zulkifli memberi sokongan penuh pada eksekutif korporat yang datang hampir setiap petang untuk mengajar kami menguruskan Harakah seperti syarikat iaitu dengan berkira terperinci segala perbelanjaan bukan saja wang ringgit tetapi tenaga dan masa. Namun begitu, Ahmad Lutfi menyatakan tidak senang dengan cara begini yang dianggap tidak selari dengan semangat perjuangan dan kewartawanan. Sungguhpun begitu beliau tidaklah pernah mengkritik saya dan Zulkifli dalam memberi kerjasama kepada Dr Wahab.

Ada dua perkara yang mungkin saya pandangan berbeza dengan Ahmad Lutfi. Pertama ialah demonstrasi. Walaupun saya menyokong kepentingan berdemonstrasi dan hak seseorang atau sekumpulan untuk berbuat demikian, tetapi saya tidaklah gemar turun ke jalan raya. Kedua, ialah mengenai konsert di kampus. Saya menyokong hak pelajar mengadakan demonstrasi menentang konsert tetapi saya tidaklah menentang acara konsert itu. Dalam pada itu saya membantah konsert diadakan dalam kampus ketika mana pelajar dilarang mengadakan acara-acara politik secara bebas.

Tetapi terhadap isu inilah akhirnya Ahmad Lutfi ditahan di bawah ISA, sekitar 1989, walaupun tidaklah lama dan tidak sempat di hantar ke Kamunting. Semasa beliau mula ditahan, saya dalam perjalanan ke Lapangan Terbang untuk ke Iran. Kebimbangan saya ketika itu ialah pengharaman Harakah kerana Ahmad Lutfi berkempen mendokong demonstrasi dalam tulisan-tulisannya dalam akhbar itu.

Detik-detik saya berhenti daripada Harakah pada Disember 1992. Saya mendapat tahu Watan telah dijual oleh Karangkraf kepada Tengku Adnan Mansor yang hendak menjadikannya akhbar harian arus perdana ketiga selepas Utusan Malaysia dan Berita Harian. Saya juga mendapat tahu bahawa Zainal Epi, bekas wartawan Star akan menerajui Harian Watan. Untuk mengetahui kisah perkembangan akhbar baru ini, saya pun mengajak Ahmad Lutfi berjumpa Zainal di pejabat Kumpulan Varia yang juga hendak diambil oleh Tengku Adnan.

Dengan bermotosikal, kami pun bertemu Zainal. Beliau memberitahu bahawa Harian Watan ini adalah suatu usaha besar untuk memunculkan sebuah kumpulan media cetak baru bagi menyaingi Kumpulan Utusan, kumpulan NST dan Star. Mereka juga mahu melancarkan akhbar Inggeris, The Sun di samping membeli majalah-majalah hiburan.

Zainal menyatakan bahawa Harian Watan akan menjadi akhbar independen, tidak terikat pada mana-mana parti, iaitu tidak seperti Utusan dan Berita Harian. Dia menawarkan saya bekerja dengan Watan sebagai Pengarang Berita.

Selepas saya meninggalkan Harakah yang ketika itu di bawah pengurusan Azizan Razak, Ahmad Lutfi dilantik Ketua Pengarang Kumpulan Harakah. Bagaimanapun Ahmad Lutfi tidak lama mengetuai Harakah, sekitar enam bulan sahaja, khabarnya beliau berbeda pendapat dengan pengurusan tertinggi Harakah, khususnya Azizan, dan memilih untuk berhenti. Biarpun tidak lagi bekerja dengan Harakah, beliau masih menyumbang rencana dan menjaga hubungan dengan akhbar PAS itu.

Selang beberapa tahun, Ahmad Lutfi kemudiannya menyertai Harakah semula, tetapi diminta mengetuai bahagian majalah, dengan menjadi ketua editor majalah Tamadun, yang diasaskan oleh bekas pemimpin PAS, Amaluddin Darus. Dia sering memberitahu lebih selesa menulis rencana daripada melaporkan berita.

Ahmad Lutfi akhirnya meletakkan jawatan daripada majalah Tamadun, rasanya sebulan selepas Anwar Ibrahim dipecat daripada kerajaan dan Umno, untuk menumpukan usaha dalam perniagaan khusus melalui Penerbitan Pemuda. Dia menerbitkan majalah Detik.

Selain itu, beberapa buku diterbitkan oleh beliau. Setiap kali beliau menulis sebuah buku, maka akan diupelawanya saya menyumbang bab. Seringkali saya turut menyumbang separuh daripada isi kandungan buku berkenaan.

Antara buku-buku yang diterbitkan ialah mengenai usaha mempertahankan Hari Jumaat sebagai hari kelepasan mingguan di Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu. Tetapi buku yang meletup adalah bersifat politik. Antara yang terkenal ialah Anwar lawan Ghafa?. Tetapi paling terkenal ialah Anwar: Skandal Seks atau Konspirasi? yang turut dicetak rompak pada tahun-tahun 1999.

Saya turut menyumbang bab dalam buku itu. Detik-detik menjelang penulisan buku itu masih saya ingat. Seperti selalunya, saya akan pergi berjumpa Ahmad Lutfi berhampiran di rumahnya dari masa ke semasa. Ketika itu beliau masih sihat sepenuhnya dan selalunya kami makan di restoran dekat-dekat situ.

Pada satu hari dia bertanya saya: “Anta tahu tak cerita yang tidak sedap didengar pasal Anwar?” Masa itu Anwar masih menjadi Timbalkan Perdana menteri dan buku 50 Dalil belum lagi ditulis atau tersebar.Setelah dia menceritakan mengenai apa yang didengar, saya pun menepuk kepala saya. Walaupun pada masa itu Anwar dalam Umno dan kami dalam PAS, tetapi cerita ini tidak gamak kami hendak dengar.

“Kalau Anwar hendak ada masalah, biarlah masalah lain, jangan masalah ini. Malu, tak sanggup kami hendak dengar apatah lagi hendak dijadikan isu politik,” kata saya lebih kurang begitu kepada Anwar.

Pada detik-detik Anwar dipecat daripada Umno ketika itulah Ahmad Lutfi merancang untuk membesarkan perniagaannya. Kami berbincang mengenai perniagaan yang hendak diceburi. Saya selalu tekankan mengenai penerbitan buku adalah lebih baik daripada majalah dan seterusnya akhbar. Tetapi Ahmad Lutfi lebih suka pada majalah kerana sifatnya yang berkala dan lebih penting lagi, peranan reka bentuk grafik yang boleh mencantikkan majalah.

Saya menggalakkan beliau untuk aktif dalam penerbitan, pengedaran dan penjualan bahan-bahan bercetak itu. Apa yang saya cadangkan ialah sebuah syarikat yang benar-benar dijalankan secara keusahawanan dan profesional.

Maka akhirnya Ahmad Lutfi menyewa sebuah kedai dan pejabat di Medan Idaman, Gombak. Ketika itu, dia mengambil alih majalah Detik (menyewa permit) daripada Samsuri Roslan yang sudah tidak mampu untuk meneruskan penerbitannya. Sebelum itu Samsuri dapat menerbitkannya dengan sokongan dan sumbangan daripada Tan Sri Khalid Ibrahim yang ketika itu sedang mencari tempat dalam politik Umno dan pernah bertanding di bahagian Kuala Selangor.

Jadi ruang kedai dan pejabat itu adalah lengkap. Ada kedai buku di bawahnya. Pejabat majalah Detik di tingkat satu. Sementara belakang kedai dijadikan gudang untuk pengedaran buku. Majalah Detik pula boleh dibuat secara bermutu; awalnya diterbitkan secara sebulan sekali, kemudian dua kali sebulan. Dari segi semangat, ia merupakan kesinambungan terbitan makalah Isu dahulu, diikuti dengan Dunia Islam dan Tamadun.

Saya sering juga menemui beliau di pejabat di Medan Idaman. Di samping menyumbang bagi penerbitan Detik, saya juga ada masanya memberi tunjuk ajar kepada wartawan Detik yang baru mencari tempat dalam dunia kewartawanan. Lebih penting lagi Detik adalah tempat untuk menemui kawan-kawan yang boleh diajak berbual mengenai perjuangan. Di situ ada Fathi Aris Omar, yang bertugas sebagai pembantu Ahmad Lutfi di majalah Detik, sekarang Ketua Pengarang Malaysiakini. Tetapi banyak lagi kawan-kawan Lutfi yang datang singgah. Antara yang saya pernah jumpa dan bersembang di pejabat Medan Idaman ialah Rustam A Sani, juga banyak menyumbang untuk penerbitan Ahmad Lutfi.

Tetapi perniagaan di Medan Idaman itu tidak dapat bertahan lama apabila majalah Detik diharamkan KDN selepas hanya setahun beroperasi. Ahmad Lutfi ada membuka kiosk di pusat-pusat membeli belah, antaranya di The Mall dekat PWTC untuk menjual kitab-kitab dan bahan agama. Keadaan kesihatan Ahmad Lutfi juga menjadi penghalang untuk beliau lebih aktif. Tetapi setelah agak sihat, beliau ditawarkan untuk mengendalikan akhbar Siasah.

Keseluruhan saya melihat beliau amat gigih dalam hidupnya, baik untuk penerbitan mahupun perjuangan. Beliau cekap dalam menbgira dan menghitung untung rugi sesuatu projek. Tetapi lebih penting ialah keberaniannya untuk mengambil risiko dan pada keseleruhannya, hidupnya amat penuh dan bermanfaat dalam perjuangan.

Kini di Harakah beliau cuba untuk memberikan makna kepada penerbitan akhbar itu. Suasana politik sudah banyak berubah dengan harapan PAS untuk berperanan besar dalam pentadbiran negara amat cerah dengan kejutan tahun 2008, sesuatu yang tidak kami sangka kertika berjuang pada tahun-taghun 80-an dan 90-an dahulu.

Zin MahmudNamun sosok-sosok seperti Ahmad Lutfi dengan sumbangan-sumbangan daripada sudut tertentu telah memperkayakan medan perjuangan negara. Daripada Mingguan Tanah Air, Mingguan Politik, Harakah, Muslimah, Dunia Islam, Tamadun, Detik, Wasilah, Siasah hinggalah kepada buku-buku yang ditulis dan diterbitkan oleh Ahmad Lutfi, beliau telah memberi sumbangan besar kepada kewartawanan politik perjuangan Islam.

Kalaulah ada Hadiah Kewartawanan Perjuangan Politik Islam, saya pasti mencalonkan beliau sebagai pemenangnya. — 29 Oktober 2012

—–

 Zin Mahmud adalah bekas pengarang Utusan Malaysia yang pernah juga menjadi Pengarang Kumpulan Harakah. Tulisan ini merupakan satu bab dalam buku tentang pengalaman kewartawanan Ahmad Lutfi Othman, berjudul Lorong Sunyi Media Bebas, 832 halaman, RM45. Hubungi Ahmad Luqman Hakim, 019 2903291 jika berminat. Ahmad Lutfi akan mula menulis di malaysiadateline.com tidak lama lagi.

 

CATEGORIES
TAGS