Mahasiswa disaran jangan berhenti ‘melawan’ selepas rakan ditangkap

Mahasiswa disaran jangan berhenti ‘melawan’ selepas rakan ditangkap

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Penahanan aktivis mahasiswa Ashraff Nazrin Noor Azman sewaktu jelajah Bersih 5 di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menyerlahkan lagi muslihat jahat pihak tertentu yang mahu menyekat rakyat dari terus bersuara, kata penolong setiausaha publisisi DAP Johor, Sheikh Omar Ali.

Beliau berkata, penahanan ini merupakan penafian terhadap hak kebebasan berhimpun dan bersuara yang dilindungi di bawah perkara 10 Perlembagaan Malaysia dan artikel 20 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.

“Ashraff ditahan sejurus selepas beliau memberikan salam pembukaan. Belum sempat meneruskan ucapan lanjut, beliau telah digari dan dibawa ke balai.

“Hal ini cukup membuktikan bahawa UIA telah gagal menjadi medium mendidik mahasiswa agar berjiwa merdeka, malah disekat dari menjadi jurubicara rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Ashraff dari Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan ditahan kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Beliau adalah orang pertama untuk berucap pada pelancaran siri jelajah BERSIH 5 di kampus UIA.

Sheikh Omar berkata, perkara sebegini bukan pertama kali berlaku di UIA malah universiti itu pernah mengenakan tekanan kepada pensyarahnya Dr Aziz Bari.

“Bahkan kita juga tidak lupa bagaimana dengan kekerasan, UIA telah menyekat dan mengenakan tindakan keatas mahasiswa yang berhimpun untuk bersolidariti bersama Dr Aziz Bari pada ketika itu.

“Hal yang sama juga turut pernah berlaku keatas Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli yang dijadualkan berucap di universiti itu berkaitan isu cukai barangan dan perkhidmatan.

“Dengan jelas, UIA gagal menjunjung semangat kebebasan akademik dan hak kebebasan bersuara,” katanya lagi.

Beliau menambah, suara mahasiswa adalah suara yang perlu didengari bukan dihukum oleh pihak berkuasa.

“Mahasiswa adalah entiti penting dalam sesebuah negara. Suara mereka ‘genuine’ dan lahir dari pertimbangan akal dan ilmu.

“Di mana-mana negara sekalipun, suara mahasiswa adalah suara yang perlu didengari dan diambil kira, bukan dihukum apatah lagi tangannya digari. Ini gila,” katanya.

Beliau bagaimanapun yakin mahasiswa dan rakyat tidak akan undur meskipun dihadapkan dengan pelbagai ancaman.

“Jika mereka tunduk tidak berbuat apa-apa pada waktu ini, negara akan terus parah pada masa akan datang.

“Hanya ada satu kata untuk menghentikan ke’gila’an ini iaitu jangan berhenti ‘melawan’,” katanya.

TAGS