Mahasiswa tak boleh diam, AUKU mesti dimansuh

Mahasiswa tak boleh diam, AUKU mesti dimansuh

Golongan mahasiswa negara ini tidak boleh berdiam diri terhadap sebarang tindak-tanduk kerajaan atau pemimpin yang merugikan negara, kata Aktivis himpunan #TangkapMO1 Anis Syafiqah Mohd Yusof.

Sikap membisu golongan siswa dan terpelajar negara ini katanya hanya akan memberi kesan ke atas generasi akan datang.

“Jika tak lawan, kita akan ditindas. Kita tak ada pilihan untuk diam.

“Kalau kita berdiam, kita tak boleh maafkan diri kita sebab generasi akan datang akan terkesan dengan apa yang kita lakukan,” katanya dalam forum AUKU 1971 anjuran Challenger di Malaysiakini kelmarin.

Anis yang juga Pengerusi Kesatuan Mahasiswa Malaysia (Kesatuan) menegaskan, AUKU yang sering disalahguna untuk menekan mahasiswa itu perlu dimansuhkan dan digantikan dengan alternatif lain yang lebih baik.

Katanya, walaupun AUKU tidak dikenakan dalam kesnya, ia memberi kuasa kepada pihak universiti untuk menekan pelajar yang tidak selari dengan pendirian universiti khususnya membabitkan aktivisme mahasiswa.

“Saya mendesak supaya AUKU dimansuhkan kerana saya percaya ia perlu didatangkan dengan alternatif lain yang lebih baik dan bukan yang lebih buruk seperti ISA diganti Sosma,” tegasnya.

Pelajar jurusan bahasa itu mahu supaya sebarang alternatif kepada AUKU itu mesti berpandukan kebebasan berakademik dan perlembagaan.

“AUKU tak perlu pinda lagi tapi perlu dimansuhkan. Kerajaan tak perlu buang masa dan tenaga pinda AUKU,” tegasnya.

Anis pada 15 Disember baru-baru ini telah digantung pengajian selama satu semester, diberi amaran dan denda RM400 selepas didapati bersalah dalam perhimpunan #TangkapMO1 di Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Beliau dihukum salah oleh panel tatatertib Universiti Malaya kerana kononnya telah melanggar kod etika mahasiswa, merosakkan nama baik universiti dan memudaratkan ketenteraman awam.

“Prosiding ke atas saya bukan untuk hentikan apa yang saya buat sekarang tapi seolah-olah pihak universiti dapat tekanan politik dari orang-orang yang mahu kuasa mereka kekal.

“Saya dituduh panel tatatertib UM kononnya ganggu ketenteraman awam. Tapi polis pun tak nyatakan apa yang saya buat itu satu kesalahan.

Selain itu, apa yang menghairankan ujar Anis, ahli panel disiplin UM itu juga tidak mempunyai latarbelakang undang-undang.

“Macam mana nak adili mahasiswa tapi tak ada latarbelakang undang-undang? Seolah-olah universiti tidak serius mengadili mahasiswa yang dituduh,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa gerakan mahasiswa memperjuangkan aspirasi yang bersifat sejagat dan tidak menyebelahi mana-mana kelompok parti politik seperti didakwa sesetengah pihak.

“Mahasiswa tak ada kepentingan seperti ahli politik.

“Mahasiswa bukan alat pembangkang atau siapa-siapa. Mahasiswa tak ada kepentingan. Suara mahasiswa sepatutnya suara sejagat,” tegasnya.

TAGS