Mahathir tiada kuasa mutlak

Mahathir tiada kuasa mutlak

Pakatan Harapan tidak memberi kuasa mutlak kepada Tun Dr Mahathir seperti yang dinikmati negarawan berkenaan ketika berada dalam Umno sebelum ini, kata Ketua Pemuda Harapan Terengganu, Hasbie Muda.

Menurutnya, keputusan Pakatan Harapan mencalonkan Tun Mahathir sebagai perdana menteri kerana beliau berpotensi untuk memenangi sokongan pengundi Melayu.

“Bukan mudah untuk Dr Mahathir membuat keputusan menentang parti (Umno) yang dianggotainya sejak 1946.

“Kita tidak memberikan dia (Tun Mahathir) kuasa mutlak sebagaimana yang dia nikmati sewaktu memimpin Umno.

“Paling mustahak, Dr Mahathir ada formula untuk tarik undi Melayu, segmen terbesar yang akan menentukan kekalahan regim Umno-BN,” ujarnya.

Ketua Pemuda AMANAH Terengganu itu juga berkata, tiada mana-mana pemimpin bebas daripada kesilapan seperti apa yang berlaku pada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dr Mahathir adalah pemimpin yang ada kebolehan dan kebaikan. Sebagai manusia biasa, dia juga ada kelemahan.

“Tidak ada pemimpin yang bebas dari kesilapan. Malahan Anwar sewaktu berkuasa dulu juga banyak tersilap dan melukakan hati rakyat,” dipetik daripada statusnya di Facebook semalam.

Pengarang buku ‘Kemenangan Yang Tertangguh’ yang menganalisis keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 lalu itu berkata, rakyat sebaliknya menyokong Anwar yang bangkit menentang kepincangan.

“Jangan lupa kes Forex, Memali, Ops Lalang dan pelbagai lagi berlaku sewaktu Anwar dalam kabinet tetapi apabila dia memilih untuk melawan sistem yang menternak kezaliman dan menyuburkan penyelewengan, rakyat bangkit menyokong beliau.

“Malahan, mengangkatnya sebagai calon PM. Hari ini, Dr Mahathir juga mengulangi perkara yang sama,” tambah Hasbie lagi.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES