Mahkamah arah KDN bayar The Edge

Mahkamah arah KDN bayar The Edge

Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Setiausahanya hari ini diperintahkan membayar ganti rugi berikutan keputusan salah mereka dalam menggantung dua penerbitan The Edge selama dua bulan berhubung satu siri laporan mengenai 1MDB.

Keputusan itu dibuat oleh panel lima anggota yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang menolak rayuan kementerian dalam negeri.

“Tidak ada merit dalam rayuan kerana tidak ada rayuan oleh pihak perayu berhubung liabiliti,” katanya sepeti dilapor Malaysiakini.

Hakim Zulkefli juga berkata mereka tidak akan menjawab tiga soalan yang ditujukan kepada mahkamah berhubung rayuan itu.

Difahamkan ganti rugi kepada akhbar yang terjejas akan membabitkan jumlah yang besar.

Jumlah itu akan ditentukan oleh mahkamah tinggi, dengan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan esok untuk pengurusan kes.

The Edge Communications Sdn Bhd yang menerbitkan The Edge Financial Daily dan The Edge Weekly digantung antara 23 Julai dan 21 September 2015.

The Edge Communications diwakili peguam Daryl Goon dan Raja Eileen Soraya Raja Aman manakala Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke mewakili kementerian dalam negeri.

KDN menggantung permit penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan dari 27 Julai 2015 berkaitan laporannya mengenai isu 1MDB.

Bagaimanapun perintah itu dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 21 Sept 2015, yang membenarkan permohonan The Edge untuk semakan kehakiman. Mahkamah Tinggi juga memerintahkan untuk penilaian ganti rugi yang dialami The Edge.

Pada 30 Ogos tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan KDN berhubung keputusan Mahkamah Tinggi bagi penilaian ganti rugi.

Mahkamah Rayuan tidak mendengar hujahan mengenai kesahihan perintah penggantungan KDN kerana perkara itu menjadi akademik selepas tempoh penggantungan telah luput.

Antara lain persoalan yang dibangkitkan sama ada suatu perintah untuk penilaian ganti rugi kerana melanggar hak perlembagaan boleh dibuat, selepas mendapat perintah certiorari.

TAGS