Mahkamah Rayuan kekal keputusan Zamihan saksi tidak boleh dipercayai, denda RM40,000

Zamihan Mat Zin

Mahkamah Rayuan Putrajaya sebulat suara telah menolak rayuan Zamihan Bin Mat Zin terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mendapati beliau bersalah dalam membuat kenyataan fitnah ke atas Syria Care dengan kos sebanyak RM10,000.00.

Panel hakim yang diketuai oleh Datuk Rohana bin Yusof mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 21 April 2017 yang membenarkan tuntutan saman fitnah Syria Care ke atas Zamihan dan diperintah membayar RM30,000 lagi kepada Syria Care.

Saman fitnah yang telah difailkan Syria Care melalui peguamcaranya, Tetuan Shukor & Associates adalah berdasarkan satu laporan yang diterbitkan di Star Online yang memetik kenyataan Zamihan Mat Zin bertajuk “Senseless jihad puts Malaysia as violence hub, says Home Ministry officer” pada 27 Jun 2014 (laporan tersebut telah dikeluarkan daripada Star Online) yang yang mengaitkan Syria Care secara langsung sebagai kumpulan kumpulan Syiah yang perlu dipantau oleh kerajaan.

Mahkamah Rayuan bersetuju dengan dapatan fakta Mahkamah Tinggi bahawa Zamihan telah mengucapkan perkataan Syria Care di dalam kenyataan yang mengaitkan Syria Care secara langsung sebagai kumpulan Syiah yang berselindung di sebalik nama pertubuhan bukan kerajaan dan mempunyai maksud dan objektif yang berlainan yang seterusnya perlu dipantau oleh kerajaan.

Mahkamah Tinggi Shah Alam di dalam Penghakiman membuat dapatan tersebut dengan antara lain menyatakan bahawa Zamihan adalah seorang saksi yang tidak boleh dipercayai (unreliable witness) disebabkan kenyataan beliau semasa memberi keterangan bercanggah dengan pliding yang difailkan.

Pada 21 April 2017, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Dato’ Wan Ahmad Farid Bin Wan Salleh telah menyampaikan penghakiman bagi kes ini seperti berikut:

1) Bahawa Zamihan Mat Zin (Defendan Pertama) gagal dalam pembelaan dan Mahkamah Tinggi mendapati beliau bersalah (liable) terhadap tuntutan Plaintif dan perlu membayar kos sebanyak RM30,000.00 kepada Plaintif. Satu taksiran gantirugi akan didengar pada satu tarikh yang lain;

2) Bahawa perintah sekatan (restraining order) dalam bentuk injunksi kekal bagi menghalang Zamihan Mat Zin daripada bercakap, atau menerbitkan selanjutnya, atau menyebabkan atau membenarkan untuk diterbitkan penyata menjadi persoalan (impugned statement) atau apa-apa perkataan lain yang sama atau apa-apa kesan yang sama dalam mana-mana cara sekalipun pada masa akan datang;

3) Bahawa Zamihan Mat Zin perlu menerbitkan satu permohonan maaf tanpa syarat kepada Plaintif yang mana ianya perlu disiarkan di dalam Star Online;

4) Bahawa tuntutan ke atas Star Media Group Berhad (Defendan Kedua) ditolak tanpa perintah ke atas kos;

5) Bahawa Mahkamah mendapati kenyataan yang dipersoalkan (impugned statement) tersebut adalah tidak benar dan perintah sekatan (restraining order) dalam bentuk injunksi kekal bagi menghalang Star Media Group Berhad, pengkhidmatnya atau ejen-ejennya daripada bercakap, atau menerbitkan selanjutnya, atau menyebabkan atau membenarkan untuk diterbitkan penyata menjadi persoalan (impugned statement) atau apa-apa perkataan lain yang sama atau apa-apa kesan yang sama dalam mana-mana cara sekalipun pada masa akan datang; dan

6) Bahawa Star Media Group Berhad perlu menerbitkan satu permohonan maaf tanpa syarat kepada Plaintif yang mana ianya perlu disiarkan di dalam Star Online.

Star Media Group Berhad telah menerbitkan permohonan maaf tanpa syarat pada 17 Mei 2017.

9.0
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS