Mahkamah Rayuan putuskan seksyen 3 (3) Akta Hasutan tidak sah

Mahkamah Rayuan putuskan seksyen 3 (3) Akta Hasutan tidak sah

 Dalam satu keputusan bersejarah, Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa Seksyen 3 (3) Akta Hasutan 1948 mengenai elemen niat seseorang yang dituduh membuat kenyataan berbaur hasutan, sebagai tidak sah.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]


Dalam satu keputusan bersejarah, Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa Seksyen 3 (3) Akta Hasutan 1948 mengenai elemen niat seseorang yang dituduh membuat kenyataan berbaur hasutan, sebagai tidak sah.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Lim Yee Lan sebulat suara membenarkan rayuan dikemukakan Anggota Dewan Undangan Negeri Sri Muda Mat Shuhaimi Shafiei bagi mencabar kesahan peruntukan itu dari segi perlembagaan.

Ketika menyampaikan keputusan penghakiman, Hakim Varghese George Varughese berkata Seksyen 3 (3) melanggar hak warganegara di sisi perlembagaan untuk mendapat layanan dan perlindungan secara saksama di bawah undang-undang.

Seorang lagi anggota panel itu ialah Hakim Datuk Harmindar Singh Dhaliwal.

Seksyen 3 (3) menyebut bahawa untuk membuktikan bahawa sesuatu kesalahan itu telah dilakukan mengikut Akta Hasutan, niat seseorang yang dikenakan pertuduhan dianggap tidak relevan jika pada hakikatnya, perbuatan berkenaan telah, atau akan, sekiranya dilakukan, perkataan, penerbitannya, mengandungi kecenderungan untuk menghasut.

Varghese berkata Seksyen 3 (3), walaupun bermaksud untuk mengetepikan sepenuhnya bukti mengenai niat untuk melakukan kesalahan menghasut, tidak dapat dipertahankan sepenuhnya serta melanggar jaminan kedudukan sama rata di sisi undang-undang mengikut Perlembagaan Persekutuan, yang diberi kepada semua orang di mahkamah.

Katanya, tidak dapat dipertikaikan bahawa seseorang yang dikenakan pertuduhan mengikut Akta Hasutan, jelas berada dalam kedudukan rugi dan malah, ditindas.

“Ini akan membuka pintu kepada pendakwaan secara berpilih, suatu pencbulan atau penghinaan terhadap hak di sisi perlembagaan, yang sepatutnya ditangani dan dilindugi secara saksama mengikut undang-undang,” katanya dalam penghakiman setebal 24 muka surat itu.

Beliau berkata Seksyen 3 (3) melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan (yang menjamin kebebasan bersuara serta menyatakan pendapat) dan oleh itu, tidak sah serta tidak mempunyai kesan dalam undang-undang.

“Kami sebulat suara berpendapat bahawa Seksyen 3 (3) Akta 15 (Akta Hasutan) merupakan suatu sekatan atau langkah yang tidak seimbang untuk mencapai objektif yang dibenarkan seperti yang termaktub dalam Perkara 10(2) (a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Mat Shuhaimi menghadapi tuduhan menghasut kerana didakwa menyiarkan bahan berunsur hasutan dalam blognya di Pusat Khidmat Rakyat, Jalan Anggerik Vanilla, Kota Kemuning, Shah Alam pada 30 Dis 2010.

Beliau memfailkan saman pemula pada September 2014 bagi mendapatkan perisytiharan mahkamah bahawa Seksyen 3 dan 4 Akta Hasutan adalah tidak sah kerana beliau mendakwa peruntukannya melanggar asas kebebasan bersuara yang dijamin Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan. Seksyen 4 pula adalah mengenai hukuman bagi kesalahan itu.

Beliau kalah dalam kes di Mahkamah Tinggi dan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Selepas keputusan itu diumumkan, peguam N. Surendran, yang mewakili Mat Shuhaimi, berkata berikutan keputusan mahkamah itu, pihak pendakwa yang mengendalikan kes hasutan perlu membuktikan niat seseorang yang dikenakan pertuduhan dengan perbuatannya melakukan kesalahan itu.

“Jadi, ini bermakna, mulai sekarang, semua kes (hasutan) yang tertangguh atau mana-mana kes yang akan didakwa selepas ini, elemen niat perlu dibuktikan oleh pihak pendakwa,” katanya kepada pemberita di luar mahkamah.

Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke mewakili kerajaan, yang dinamakan sebagai responden dalam saman pemula Mat Shuhaimi.

TAGS