Mahkamah tangguh permohonan injunksi Wisma Tok Guru ke pagi esok

Kini bangunan ini diisytiharkan Wisma Tok Guru

Bangunan Wisma Tok Guru yang menempatkan pejabat Adun Salor. Husam mendakwa ia tidak pernah menjadi pejabat Pas kawasan sebagaimana didakwa oleh Pas.

Mahkamah Tinggi Kota Bharu menangguhkan perbicaraan permohonan Datuk Husam Musa untuk mengenakan injunksi terhadap PAS dari mengambil alih Wisma Tok Guru yang menjadi pejabat beliau, ke jam 9 pagi esok.

Keputusan penangguhan itu dibuat selepas peguam Pas, Datuk Takiyudin Hassan membuat permohonan itu sejak pagi lagi.

Mula-mula Takiyudin yang juga Setiausaha Agung Pas itu meminta agar kes-kes lain diselesaikan dahulu kerana kes ini akan mengambil masa yang panjang.

Sehinggalah masa mahkamah hampir tamat pada sebelah petang, hakim Datuk Ahmad Bache menangguh perbicaraan itu ke pagi esok jam 9 pagi selepas permohonan Takiyudin.

Husam membuat permohonan perintah itu terhadap Setiausaha Kerja Pas Kelantan yang Mohd Yassin Yusof yang membeli tanah pejabatnya, Wisma Tok Guru dengan harga RM700,000 dari balu Allahyarham Datuk Rosli Ibrahim, pemilik tanah dan bangunan itu.

Husam diwakili oleh tujuh peguam iaitu Mat Zaidan Ali, Norazham Yahya, Hisham Fauzi, Mohd Murtadza Mohd Mokhtar, Shamsul Baharin Abdullah, Mohd Yusof Yakob dan Alawi Mohd Rashid.

Yassin pula diwakili oleh Nik Asma Baharom Nik Abdullah dan Datuk Takiyudin Hassan.

Pas Kelantan telah mengarahkan semua ahlinya agar hadir ke majlis solat hajat di Wisma Tok Guru esok, 16 November.

Dalam satu kenyataan semalam, Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pihaknya berhak menduduki bangunan itu kerana proses jual beli hartanah yang menempatkan Wisma Tok Guru sudah selesai.

“Perkara ini telah selesai walaupun pihak PAN (AMANAH) membuat injunksi di mahkamah,” katanya seperti dilaporkan media Pas, Harakahdaily.

Menurutnya, hartanah yang menempatkan Pusat Khidmat DUN Salor dijual oleh pemiliknya, Haripah Dollah kepada PAS negeri pada harga RM700,000.

“Urusan pindah milik selesai 18 September lepas dan berikutan itu notis dikeluarkan pejabat peguam bagi membolehkan mereka yang berada di bangunan di situ mengosongkannya dalam tempoh sebulan,” katanya.

Che Abdullah juga berkata, Pas Kelantan tetap akan mengadakan majlis kesyukuran dan solat hajat di Wisma Tok Guru Dun Salor pada 16 November ini.

Husam telah menerima notis pada 12 Oktober lalu untuk mengosongkan bangunan itu dalam tempoh sebulan.

Jika tidak, Pas akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Husam.

9.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS