Mahkamah Tinggi Kota Bharu beri hak Orang Asli buat tuntutan tanah adat

Mahkamah Tinggi Kota Bharu beri hak Orang Asli buat tuntutan tanah adat

 

Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini membenarkan tuntutan yang dibuat oleh sekumpulan Orang Asli bagi membolehkan mereka menuntut hak ke atas kawasan kediaman dan kawasan rayau (tanah adat).

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini membenarkan tuntutan yang dibuat oleh sekumpulan Orang Asli bagi membolehkan mereka menuntut hak ke atas kawasan kediaman dan kawasan rayau (tanah adat).

Hakim Datuk Ahmad bin Bache membuat keputusan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang bersidang pagi tadi.

Empat plaintif dari Pos Dakoh atau Pos Balar mendapat kebenaran itu di perbicaraan dalam kamar pada jam 11 pagi tadi.

Menurut fakta kes, empat orang asli, Kamal a/l Alek, Mazlan Alwi, Zamri Talib dan Aja bin Along mewakili masyarakat orang asli Pos Dakoh (Balar) telah menyaman Kerajaan Negeri Kelantan dan enam defendan yang lain iaitu Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Pejabat Tanah dan Galian Kelantan, Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan dan beberapa individu bagi pihak syarikat pemaju supaya menghentikan pembalakan dan pembangunan tanah di kawasan tersebut.

Kerajaan Negeri dan defendan-defendan yang lain telah memohon supaya saman ini diketepikan. Mahkamah Tinggi dalam keputusannya kelmarin membenarkan masyarakat orang asli meneruskan tuntutan mereka di mahkamah.

Berdasarkan rekod, pada tahun 2012,Kerajaan Kelantan telah meluluskan tanah seluas 7200 ekar di Pos Dakoh dan Belatim kepada Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat untuk penanaman kelapa sawit secara komersial secara pajakan dengan Syarikat Sigur Rus Sdn Bhd. MOA di Pos Belatim juga telah memfailkan saman yang sama.

Zamri TalibZamri yang ditemui selepas perbicaraan itu berkata beliau bersyukur kerana setelah begitu lama berjuang bagi mendapat hak untuk Orang Asli, hari ini satu keputusan yang ditunggu-tunggu akhirnya menjadi kenyataan.

“Selama ini Orang Asli seolah-olah tidak ada sebarang hak ke atas tempat kami tinggal dan kawasan kami mencari rezeki.

“Sesiapapun yang masuk ke hutan atau membuat sebarang aktiviti di sekitar kami tidak langsung menghiraukan kehidupan kami,” katanya.

Sama ada pihak kerajaan atau bukan kerajaan katanya langsung tidak bertanya khabar apa lagi berunding dengan penduduk Orang Asli apabila mereka membuat aktiviti di hutan.

“Apa yang amat perit kepada kami Orang Asli apabila hutan berhampiran kami tinggal dijalankan aktiviti pembalakan dan pertanian secara besar-besaran.

“Sehingga ada berlaku tempat kubur datuk nenek kami turut diceroboh dan tempat kami bercucuk tanam turut digondol,” katanya.

Menurutnya penerokaan hutan lebih teruk apabila mengganggu alam sekitar.

“Sungai sekarang tidak lagi bersih seperti dulu.

“Bila hujan lebat air bertukar menjadi keruh dan kami menghadapi masalah untuk mendapat sumber air bersih,” katanya.

Paling perit katanya, apabila berlaku banjir besar tahun 2014 di mana kampung-kampung orang asli turut dinaiki air.

“Sisa-sisa kayu balak merempuh rumah kami dan ranting-ranting kayu merosakkan peralatan-peralatan kami,” katanya.

TAGS