Majikan  jangan ambil mudah penjualan sijil cuti sakit atas talian

Majikan jangan ambil mudah penjualan sijil cuti sakit atas talian

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius dan kesal kerana masih terdapat ramai pihak yang mengambil mudah mengenai penjualan sijil cuti sakit (MC),dengan mengiklankan penjualan sijil cuti sakit secara atas talian (on-line).

Ketua Pengarah Kesihatan KKM Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penjualan sijil cuti sakit palsu boleh memberi pelbagai implikasi negatif, termasuk kepada produktiviti Negara, isu-isu perundangan dan sebagainya.

“Majikan atau ketua jabatan adalah disarankan supaya bertindak tegas untuk tidak menerima sijil cuti sakit palsu memandangkan majikan atau ketua jabatan adalah pihak yang boleh menerima atau menolak sebarang cuti sakit yang dikemukakan pekerja, berdasarkan kepada kelayakan dan sokongan daripada doktor yang berdaftar dengan MMC bagi pengamal perubatan atau berdaftar dengan MDC bagi pengamal pergigian.

KKM juga ingin menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan atau pergigian berdaftar dan tidak menggunakan perkhidmatan penjualan sijil cuti sakit melalui atas talian, kerana mengemukakan sijil cuti sakit palsu bukan sekadar akan menjejaskan integriti seseorang individu, malah bagi penjawat awam, tindakan tatatertib seperti dibuang kerja juga boleh diambil,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, KKM menyarankan mana-mana majikan, ketua jabatan atau orang perseorangan yang mengesyaki sijil cuti sakit yang dikemukakan diragui kesahihannya, agar membuat laporan polis supaya siasatan dan tindakan sewajarnya dapat diambil.

“Begitu juga sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mengetahui wujudnya aktiviti penjualan sijil cuti sakit palsu termasuk pengeluaran sijil cuti sakit oleh sindiket melalui atau tanpa transaksi atas talian (online), boleh dilaporkan kepada polis.

“Semua yang terlibat boleh disiasat bawah unsur penipuan. Malah, sekiranya didapati seseorang pengamal perubatan atau pergigian berdaftar terbukti terlibat dalam pengeluaran sijil cuti sakit palsu, pihak majikan atau ketua jabatan juga boleh membuat aduan kepada MMC (bagi pengamal perubatan berdaftar), atau kepada MDC (bagi pengamal pergigian berdaftar).

“KKM akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya, selaras dengan Akta 586.

“KKM juga sememangnya menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan ini. Adalah diharapkan isu penjualan dan pembelian sijil cuti sakit palsu melalui talian (online) ini dapat dihentikan dengan serta merta dan semua pihak boleh bekerjasama bagi memastikan kejadian sebegini dapat dibendung daripada berleluasa dalam perkhidmatan kesihatan di Malaysia,” ujarnya.

Aduan terhadap kejadian penjualan sijil cuti sakit palsu yang melibatkan klinik atau hospital swasta juga boleh dikemukakan kepada KKM, dengan mengemukakan maklumat termasuk nama dan alamat klinik atau hospital yang terlibat melalui emel di ckaps.aduan@moh.gov.my.

TAGS