Majis Peguam tolak cadangan diketuai Peguam Negara, mahu kekal bebas

Majis Peguam tolak cadangan diketuai Peguam Negara, mahu kekal bebas

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Cadangan seorang anggota parlimen BN agar Majlis Peguam diketuai Peguam Negara tidak disenangi badan profesional itu.

Presidennya Steven Thiru menganggap cadangan Ahli Parlimen Silam Datuk Datu Nasrun Datu Mansur yang dikemukakan di Dewan Rakyat 6 April lalu sebagai merendahkan peranan majlis tersebut dan meletakkan Majlis Peguam di bawah kuasa eksekutif kerajaan.

Menurut beliau, adalah sesuatu yang tidak bertanggung jawab apabila warisan dan mandat perundangan Majlis Peguam untuk mempertahankan kedaulatan undang-undang dan keadilan cuba diberikan ‘gambaran politik’.

Beliau juga mengingatkan bahawa peranan dan objektif Majlis Peguam telah digariskan di bawah Akta Profesion Guaman 1976.

Thiru menambah, cadangan supaya Peguam Negara secara automatik dilantik sebagai presiden Majlis Peguam juga bertujuan membataskan kebebasan badan itu dan boleh dianggap tindakan terdesak untuk menyekat kebebasannya untuk bersuara.

Majlis Peguam, ujarnya akan menentang dan menolak sebarang cubaan untuk campur tangan dalam kebebasannya malah yakin orang ramai turut menolak cadangan yang dikemukakan ahli Dewan Rakyat itu.

Tambah beliau, Majlis Peguam yang bebas serta menggalak dan mempertahankan kedaulatan undang-undang tanpa takut dan memihak adalah penting bagi masyarakat demokrasi moden.

Cadangan untuk melantik Peguam Negara sebagai pengerusi Majlis Peguam juga mengingkari logik memandangkan Peguam Negara dilantik oleh kerajaan dan bertanggung jawab terhadap peguam dalam perkhidmatan awam.

Ini jelasnya berbeza dengan presiden Majlis Peguam yang dipilih berdasarkan peruntukan dalam Akta Profesion Guaman 1976 yang berfungsi mempengerusikan Majlis Peguam, sebuah badan eksekutif mewakili peguam di luar sektor awam yang berkhidmat di Semenanjung Malaysia.

TAGS