Majlis Media tidak perlu, undang-undang sedia ada mencukupi

Majlis Media tidak perlu, undang-undang sedia ada mencukupi

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 Majlis Media tidak perlu diwujudkan buat masa ini memandangkan undang-undang sedia ada di negara ini didapati mencukupi untuk mengurus dan mengendalikan isu membabitkan media.

Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abdul Jalil Ali berpendapat undang-undang itu diyakini mampu untuk menangani isu-isu yang mendepani media massa termasuk menangani penyebaran fitnah dalam media.

“Tanpa Media Council (Majlis Media) mereka yang terasa teraniaya akibat penyiaran mana-mana akhbar atau media boleh merujuk pada undang-undang sedia ada.

“Sebagai contoh akta kefitnahan (Akta Fitnah) 1957, mereka boleh guna akta ini untuk menuntut keadilan bagi diri mereka,” katanya kepada pemberita selepas menjadi moderator perbincangan bertajuk “Media, Undang-Undang dan Negara” pada Forum Media Kebangsaan 2016, di sini hari ini.

Penubuhan majlis itu pernah diusulkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini, sebagai sebahagian daripada inisiatif transformasi perundangan.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada April lepas dilaporkan berkata, kertas kerja Rang Undang-Undang Majlis Media sudah digubal namun belum dimuktamadkan kerana ia tertakluk kepada perbincangan semua pihak.

Mengulas lanjut, Abdul Jalil berkata terdapat banyak lagi undang-undang yang boleh mengawal media negara ini termasuk peruntukan di bawah Kanun Keseksaan yang boleh melindungi mana-mana individu daripada teraniaya akibat penyiaran dalam media.

“Cuma mungkin saya merasakan ramai yang tidak arif mengenai undang-undang yang wujud ini, dan merasakan jika membawa kes ke mahkamah ia akan mengambil masa yang lama untuk selesai.

“Rasanya tidak perlu lagi Media Council, mahkamah boleh tentukan jika ada kes dengan media,” katanya.

Sementara itu, mantan Felo Utama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Mohd Safar Ali berkata pengamal dan pemilik media negara ini perlu mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada walaupun ada antara peraturan diberi kelonggaran oleh kerajaan.

Sebagai contoh Lesen Mesin Cetak dan Permit Penerbitan yang tidak perlu lagi diperbaharui secara tahunan bukanlah lesen untuk akhbar secara bebas melaporkan apa sahaja dalam akhbar mereka.

Katanya, media sendiri perlu mengawal apa yang disiarkan kerana mereka masih tertakluk pada undang-undang lain yang masih berkuatkuasa dan tidak akan terlepas jika melanggar peraturan ditetapkan, termasuk Akta Hasutan 1948 dan Akta Fitnah 1957.

TAGS