Majlis Peguam nafi mahu guling kerajaan

Majlis Peguam nafi mahu guling kerajaan

Majlis Peguam Malaysia menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) minggu lalu bahawa badan itu sebahagian daripada pergerakan dibiayai dana asing untuk menjatuhkan kerajaan.

Majlis Peguam Malaysia menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) minggu lalu bahawa badan itu sebahagian daripada pergerakan dibiayai dana asing untuk menjatuhkan kerajaan.

“Majlis Peguam Malaysia secara mutlak menyangkal dakwaan tidak munasabah menggulingkan kerajaan’ terhadap Majlis Peguam.

“Ia sepenuhnya tidak berasas, dan memfitnah Majlis Peguam.” kata Presiden Majlis Peguam Steven Thiru dalam satu kenyataan.

Bercakap pada hari terakhir (PAU) pada 3 Disember, Zahid memetik laporan perisikan yang menamakan Majlis Peguam antara beberapa organisasi lain yang katanya dipengaruhi “revolusi warna”, yang merujuk kepada pergerakan aman bagi menggerakkan orang ramai menjatuhkan kerajaan.

Thiru bagaimanapun menolak dakwaan dan menganggapnya sebagai satu percubaan oleh Zahid “untuk memburuk-burukkan dan mencerca Majlis Peguam” dan bagi mengalihkan perhatian daripada masalah lain yang dihadapi kerajaan.

Tambahnya, Majlis Peguam sentiasa melibatkan pemimpin kerajaan agar mencapai matlamat menegakkan kedaulatan undang-undang dan tadbir urus yang baik.

“Penggulingan kerajaan bercanggah dengan tujuan Majlis diwujudkan – untuk ‘menegakkan keadilan tanpa mengira kepentingan sendiri atau kepentingan ahlinya, tidak terpengaruh rasa takut atau pilih kasih’, termasuk memelihara kedaulatan undang-undang, menggalakkan tadbir urus yang baik, melindungi hak asasi, menegakkan kebebasan mahkamah dan mengukuhkan pentadbiran keadilan,” kata Thiru.

TAGS