Majlis Pimpinan PH seru Kerajaan Kelantan berlaku adil, kembali berunding

Majlis Pimpinan PH seru Kerajaan Kelantan berlaku adil, kembali berunding

Pakatan Harapan menyeru Kerajaan Negeri  Kelantan bertindak adil, tegas dan ikhlas  membela nasib Orang Asli untuk membebaskan 47 tahanan dan  kembali ke meja rundingan bagi mencari jalan penyelesaian kedua-dua pihak.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pakatan Harapan menyeru Kerajaan Negeri Kelantan bertindak adil, tegas dan ikhlas  membela nasib Orang Asli untuk membebaskan 47 tahanan dan  kembali ke meja rundingan bagi mencari jalan  penyelesaian kedua-dua pihak.

Dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan hari ini yang disokong Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Kenyataan bersama itu menyatakan Pakatan Harapan terkejut dan prihatin dengan laporan bahawa 41 Orang Asli yang terlibat dengan blockade balak di Gua Musang, Kelantan, telah ditangkap oleh pihak keselamatan negeri dalam satu operasi besar-besaran mereka semalam.

Penangkapan aktivis Orang Asli ini telah mendatangkan reaksi yang kuat daripada masyarakat umum dan masyarakat antarabangsa.

Kami ingin bertanya, apakah proses perundingan telah sampai ke penghujung sehinggakan tindakan sedemikian rupa diambil terhadap penduduk Orang Asli?

Kami difahamkan bahawa perjuangan Orang Asli daripada kaum Temiar di Kelantan membantah aktiviti pembalakan yang mengancam sistem kehidupan mereka sudah bermula sejak beberapa tahun lalu, dan mereka telah menggunakan semua jalan demokrasi yang untuk berunding dengan Kerajaan Negeri namun tidak diendahkan.

Kemuncak daripada itu barulah baru-baru ini mereka melakukan blockade apabila melihat tiada penyelesaian konkrit dari pihak kerajaan negeri di samping ancaman makin teruk terhadap kehidupan mereka saban hari.

Beberapa NGO Alam Sekitar dan juga NGO Hak Asasi juga dilaporkan telah turun melawat kawasan terbabit dan telah mengesahkan wujud pelanggaran terhadap garis panduan pembalakan yang dibenarkan.

Tindakan kerajaan negeri dan pihak berkuasa menangkap Orang Asli yang mempertahan hak mereka telah dan akan terus dikecam oleh rakyat prihatin.

Kami berkeyakinan penuh bahawa masih ada ruang untuk mencari jalan penyelesaian daripada bertindak sedemikian rupa demi mengelakkan kesan buruk kepada Orang Asli dan Kerajaan Negeri Kelantan sendiri.

Orang Asli adalah penduduk asal negara ini. Mereka adalah pribumi sebenar yang perlu diberi hak sepenuhnya, dan bukan ditindas oleh mana-mana pihak.

 

TAGS