Majoriti pengundi Jakarta memilih visi calon

Majoriti pengundi Jakarta memilih visi calon

Keputusan Pilgub DKI Jakarta sangat menarik. Bancian awal menunjukkan 70% warga Jakarta berpuas hati dengan pencapaian tatakelola Ahok sebagai Gubernur Jakarta, tetapi beliau hanya mendapat 42% undi. Lantas 28% peratus yang berpuas hati dengan tadbir urusnya masih tidak mengundinya.

Andaian bahawa pengundi memilih berdasarkan sentimen agama sebagai punca kekalahan Ahok juga tidak begitu kuat. Kajian oleh akhbar Detik di Indonesia yang menemu bual pengundi ketika mengundi mendapati hanya 11.8% pengundi memilih berdasarkan sentimen agama. Ini bukanlah tsunami Islam seperti yang di war-warkan.

Lebih mengejutkan, Ahok sendiri menang di pusat mengundi Petamburan yang merupakan kubu kuat penyokong Front Pertahanan Islam (FPI) yang mengepalai kempen menentang Ahok atas sentimen agama. Petamburan adalah lokasi Ibu pejabat FPI yang diketuai oleh Rizziq Shihab.

Dua parti Islam yang besar di Indonesia, PPP yang lebih dikenali sebagai “Parti Kaabah” kerana simbol Kaabah parti itu, dan PKB yang dianggap sebagai sayap politik Nahdatul Ulamak juga menyokong Ahok disaat-saat akhir. Kedua-dua parti pada awalnya menyokong Anies tetapi mengubah sokongan kepada Ahok seminggu sebelum hari pengundian.

Kajian yang dilakukan oleh Detik mendapati 51.3% pengundi memilih calon berdasarkan kepada visi, misi dan program yang ditawarkan. Maka itu, kemenangan Anies-Sandi adalah berdasarkan merit mereka dan keupayaan mereka meyakinkan para pengundi tentang tawaran mereka kepada pengundi, bukan sangat atas faktor polarisasi agama sepertimana yang cuba digambarkan oleh sesetengah pihak.

Kalau adapun faktor sentimen agama, ia hanya faktor sampingan dan bukannya faktor utama.

Tahniah para pengundi Jakarta. Anda memilih untuk jadi terpilih. Semoga kalian berjaya.

TAGS