Maklum kepada ibu bapa keputusan bedah siasatan diputuskan polis

Maklum kepada ibu bapa keputusan bedah siasatan diputuskan polis

Kementerian Kesihatan telah menyerahkan laporan penuh bedah siasat pelajar tahfiz madrasah Al-Jauhar Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd. Ghaddafi kepada pihak polis pada minggu lepas dan terserah kepada polis untuk memaklumkan punca kematian pelajar itu kepada keluarganya.

Menterinya Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata ini memandangkan kes berkenaan masih di bawah siasatan polis.

Ini bukan kes biasa. Ini adalah kes polis. Semua butiran siasatan akan menjadi bukti kepada siasatan polis. Jadi, kita telah memaklumkan kepada polis dan terpulang kepada polis untuk mengeluarkan kenyataan.

“Kalau kes biasa, Kementerian Kesihatan akan memaklumkan punca kematian kepada keluarga. Dalam kes ini, polis boleh memberikan maklumat laporan bedah siasat sekiranya ia tidak akan mengancam siasatan dan pendakwaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Sambutan Aidilfitri anjuran Kementerian Kesihatan hari ini.

Dr Subramaniam berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan ibu bapa Mohamad Thaqif yang mendakwa mereka tidak diberitahu oleh pihak Kementerian Kesihatan mengenai punca kematian anak mereka dan hanya mengetahuinya menerusi seorang wartawan.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan hasil bedah siasat yang dilakukan terhadap Mohamad Thaqif Amin, 11, yang meninggal dunia pada 26 April lalu , mendapat kematian pelajar itu berpunca daripada jangkitan kencing tikus.

Beliau dilaporkan berkata penyebab kematiannya dirumitkan dengan keadaan kulit nekrosis dan pembentukan bekuan darah mikro di seluruh saluran darah yang mengakibatkan perubahan warna kulit, seterusnya melibatkan kegagalan organ untuk berfungsi.

Mohamad Thaqif Amin meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru selepas seminggu dimasukkan ke hospital iaitu pada 19 April lalu untuk dirawat selepas kakinya cedera dipercayai dipukul oleh pembantu warden di sekolah tahfiz tempatnya belajar.

Ditanya mengenai keluarga mangsa mungkin mengambil tindakan mahkamah kerana tidak diberitahu punca kematian, Dr Subramaniam berkata:”Itu adalah hak mereka. Mereka boleh mengambil tindakan undang-undang. Tetapi, laporan bedah siasat dibuat berasaskan sains dan mengikut sistem undang-undang yang diperuntukkan kepada kita.

“Ada kalanya pihak polis tidak mendedahkan laporan kerana maklumat penting akan dijadikan bukti dalam mahkamah. Bagaimanapun, mereka boleh datang dan berbincang dengan kementerian, dan kita sedia memberikan keterangan kepada mereka,” katanya.

TAGS