Malaysia jana RM12.681 bilion di Ekspo Astana 2017, Kazakhstan

Malaysia jana RM12.681 bilion di Ekspo Astana 2017, Kazakhstan

Malaysia menjana RM12.681 bilion (US$2.95 bilion) bagi perdagangan dan pelaburan yang berpotensi sepanjang 13 minggu berlangsungnya Astana EXPO 2017 di Kazakhstan, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata, daripada jumlah itu RM5.05 bilion adalah daripada 14 Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan syarikat Malaysia, manakala baki RM7.63 bilion disumbangkan oleh kerjasama berpotensi daripada sesi suai padan perniagaan.

MoU tersebut, meliputi bidang kerjasama teknologi hijau; pendidikan; minyak dan gas; inovasi; air dan air buangan serta keusahawanan, diperolehi daripada firma dan kerajaan Kazakhstan, selain syarikat dari negara lain termasuk India, China dan Switzerland.

Sasaran perdagangan dan pelaburan yang berpotensi kita bagi EXPO 2017 hanya RM1 bilion, sebaliknya kita telah mencapai 13 kali ganda, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan penutup di Forum Perniagaan Tenaga Malaysia-Kazakhstan di sini, pada Rabu.

Antara MoU yang dimeterai itu adalah antara Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia dengan Kementerian Tenaga Kazakhstan bagi kerjasama teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharu; Ronser Bio-Tech Bhd dan Kazakhstan MEC LLP bagi hak pengedaran di Kazakhstan dan Asia Tengah; serta NanoPac (M) Sdn Bhd dan Switzerland GC Global Consulting GMBH bagi teknologi nano dan teknologi sistem solar hibrid.

Selain itu, satu lagi MoU dijangka ditandatangani hari ini, antara Malaysia Accobiotech Sdn Bhd dan Kazakhstan Medilab untuk memasarkan produk perubatan Malaysia Accobiotech bernilai RM50 juta di Kazakhstan.

Ongkili berkata, syarikat Malaysia telah mengamalkan pendekatan berimpak tinggi melalui penggunaan teknologi canggih semasa EXPO 2017, yang menjadikan Malaysia Pavillion sebagai antara pavilion yang paling kerap dikunjungi dan paling aktif bagi program perniagaan sepanjang tempoh itu.

Beliau berkata, Malaysia Pavillion menarik 619,337 pengunjung setakat Isnin, tiga kali ganda berbanding sasaran awal sebanyak 200,000 pengunjung.

Malaysia Pavilion turut terpilih untuk Penghargaan Kehormat bagi kategori Interpretasi Tema Terbaik oleh Exhibitor Magazine yang berpangkalan di Amerika Syarikat, katanya.

Pencapaian itu membuktikan bahawa penyelesaian tenaga masa depan yang memberi inspirasi tidak hanya dihasilkan oleh negara maju, katanya.

Astana EXPO 2017 bermula pada 10 Jun, 2017 akan berakhir pada 10 Sept, 2017.

Pameran khusus antarabangsa yang bertema Tenaga Masa Depan itu bertujuan memberi inspirasi kepada perbincangan dunia antara negara, organisasi bukan kerajaan, syarikat dan awam mengenai kesan penting pengurusan tenaga ke atas kehidupan penduduk sejagat dan juga bumi ini.

CATEGORIES