Malaysia perlu amal ‘ekonomi sebenar’ untuk rawat ekonomi yang sakit

Malaysia perlu amal ‘ekonomi sebenar’ untuk rawat ekonomi yang sakit

Malaysia perlu kembali mengamalkan 'ekonomi sebenar' berbanding 'ekonomi kewangan' bagi membariskannya dengan negara-negara serantau yang lain dan mengeluarkan rakyat daripada perangkap 'pendapatan sederhana', kata Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Malaysia perlu kembali mengamalkan ‘ekonomi sebenar’ berbanding ‘ekonomi kewangan’ bagi membariskannya dengan negara-negara serantau yang lain dan mengeluarkan rakyat daripada perangkap ‘pendapatan sederhana’, kata Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut beliau ‘ekonomi sebenar’ adalah kegiatan ekonomi yang menjana produk (goods) dan perkhidmatan (services) berbanding kegiatan transaksi dalam pasaran kewangan (financial markets).

Dr Dzulkefly berkata, Malaysia memasuki liga ‘pendapatan sederhana’ pada tahun 1969, sama seperti Korea Selatan namun negara tersebut telah memasuki kelompok negara ‘pendapatan tinggi’ pada 1995 sedangkan Malaysia kekal dalam ‘Liga Sederhana Tinggi’ (Upper-Middle) sejak 1996.

Beliau menambah, walaupun ekonomi negara berubah secara drastik sejak empat dekad lalu daripada mengeksport getah dan bijih timah kepada barangan elektronik dan elektrikal (E&E), malangnya ia terhad kepada kegiatan pemasangan bahan-bahan import tanpa nilai-tambah.

Ketiadaan aspek rantaian nilai dan nilai-tambah di bidang E&E tidak memerlukan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), sekaligus mengakibatkan ianya beku dan tidak berkembang.

Katanya, meskipun negara telah meneroka bidang solar dan sektor LED, bidang R&D masih pada negara HQ (negara asal) manakala dalam sektor automobil pula milik intelektual masih dipegang syarikat Jepun seperti  Mitsubisghi Motors.

“Hanya R&D dalam sektor minyak sawit yang boleh kita banggakan dari seluruh rantaian nilai dari bahan mentah sehingga produk-produk hiliran dengan nilai-tambahnya,” ujarnya.

Laporan Organisation for Economic Co-Operation and Development (OECD) juga menyebut Malaysia gagal mengeksploitasi dan mengintegrasi konsep ‘Rantaian Nilai Global’ yang akan menjadikan produk-produk pembuatan tempatan diperlukan dan mampu bersaing di pasaran global.

“Pengisian domestik dalam barangan ekspot dan ‘intermediate’ kita, pada hakikat semakin menurun dari 69.5% pada 1995 kepada 59.5% pada 2011. Filipina mengalami peningkatan (70% ke 76.4%), sementara Indonesia (88%) dan China (67.8%) kekal sama,” ujarnya.

Sektor pembuatan yang menyumbang 31% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 1999, jelas beliau menurun ke tahap 23% pada tahun lalu (2005).

Walaupun negara telah cuba berpindah ke sektor perkhidmatan dalam Rancangan Malaysia ke-11 yang kini menyumbang 51% kepada KDNK, namun ia masih memerlukan sektor pembuatan yang kukuh dan berprestasi tinggi untuk membuat lonjakan kepada ekonomi berpendapatan tinggi.

“Hanya dengan produktiviti dan kegiatan industri yang memiliki nilai-tambah dan menaiki rantaian nilai yang lebih tinggi, yang akan mampu menjana pendapatan yang tinggi untuk warga buruhnya,” ujar beliau.

Tulisan lanjut Dr Dzulkefly boleh diikuti dalam mingguan Amanah terbaru di pasaran.

TAGS