Malaysia perlu ramai ‘Dr Radzi Jidin’

Malaysia perlu ramai ‘Dr Radzi Jidin’

Ceramah umum Pakatan Harapan semakin rancak menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Kehadiran barisan penceramahnya sudah tentu pimpinan AMANAH, Bersatu, PKR dan DAP.

Namun, penampilan pensyarah perakaunan forensik dari Universiti Tasmania, Hobart di Australia ini dalam ceramah di Machang, Kelantan minggu lalu tular di media sosial.

Petikan ceramah Dr Radzi Jidin dalam loghat Kelantan hampir 30 minit yang dikongsi di Youtube itu juga meraih ribuan tontonan dalam tempoh singkat.

‘Kuliah’ beliau tentang skandal penyelewengan wang negara paling dahsyat, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan hutang mencecah lebih RM50 bilion dilihat menarik perhatian ramai.

Beliau terbukti dapat ‘merakyatkan’ pemahaman tentang modus operandi ‘rompakan’ wang negara oleh ‘Malaysian Official 1’ dan sekutu-sekutunya yang sebenarnya bersifat amat teknikal dan sukar difahami masyarakat umum.

Menggunakan bahasa yang mudah difahami, rakyat tidak sukar untuk menghadami plot skandal yang membawa kepada pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail itu.

“1MDB ini, dia (kerajaan) pinjam duit, akaun tak audit, tahun terakhir audit pada 2014. Tak tahu berapa sebenarnya hilang. Dia pinjam duit sehingga RM52 bilion.

“Duit bila bergerak dalam bank kita boleh ikut daripada awal sampai ke hujung. Boleh kesan daripada awal sampai ke sudah.

“Tak susah untuk menafikan. Beri bukti tiada kemasukan duit ini ke akaun ini,” katanya mengimbas kembali reaksi awalnya yang menanti beberapa hari untuk pihak berkenaan tampil memberi penjelasan sebenar tentang kewajaran ‘urus niaga masuk sini, pusing sana’ itu.

Bekas Pengerusi Kelab Umno Australia New Zealand berkenaan menganggap urus niaga 1MDB sebagai sangat pelik dan gila ditambah dengan kegagalan pihak berkaitan menafikan dakwaan penyelewengan itu dengan bukti meyakinkan.

“Keluar Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) dalam 126 muka surat menunjukkan Perdana Menteri tidak bersalah.

“Di satu majlis di Sydney, seorang pemimpin Umno memegang jawatan kerajaan. Saya tidak mahu sebut nama, boleh cakap pada pelajar bahawa laporan PAC menunjukkan perdana menteri tidak bersalah.

“Habis ceramah, sebagai pensyarah saya bangun. ‘Datuk, saya nak betulkan fakta Datuk bagi itu salah. Laporan PAC bukan untuk menyiasat sama ada perdana menteri bersalah atau tidak.’

“Laporan PAC menyiasat tentang tadbir urus 1MDB. Bagaimana Datuk buat kesimpulan perdana menteri tidak bersalah?” soalnya mengulang kembali pertanyaan beliau dalam program bersama pemimpin Umno itu.

Dr Radzi yang kini Ketua Bersatu Bahagian Ketereh berkata, skandal 1MDB yang turut mengundang persaraan serta penukaran jawatan pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu juga menjejaskan keyakinan pelabur asing.

“Pelabur asing tidak bodoh sebab itu pakar-pakar ekonomi mengatakan antara sebab-sebab kejatuhan nilai ringgit adalah kerana 1MDB.

“Pelabur tengok kalau sebuah negara tidak boleh menjaga tadbir urusnya dengan penyelewengan berlaku secara berleluasa, bagaimana pelabur hendak percaya? Sebab itu, kedudukan ringgit jatuh kerana faktor keyakinan pelabur,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan lebih banyak sebenarnya kes wang negara lesap jika kerajaan terus memejamkan mata terhadap skandal 1MDB yang menyaksikan kehilangan puluhan bilion ringgit.

“Kalau kes 1MDB senyap, saya yakin banyak kes lain. Jika kes besar seperti ini (1MDB) pun yang berani cakap hanya Muhyiddin Yassin, Shafie Afdal, Mukhriz, saya yakin lagi banyak kes akan muncul.

“Sebab yang lain itu (pemimpin Umno-BN) senyap belaka. Kita jadi pemimpin ini mesti amanah. Tak betul, tak betullah,” tegas anak kelahiran Ketereh ini.

Kesediaan Dr Radzi yang pakar dalam penyiasatan akaun ini untuk tampil mengkritik urus niaga 1MDB wajar dicontohi lebih ramai ahli akademik daripada pelbagai latar kepakaran ilmu.

“Saya berada di sini (di pentas ceramah Pakatan Harapan) sebab saya buat bahagian saya. Kes sebesar ini kalau orang buat buta, hancur negara kita.

“Saya tahu benda tidak betul. Takkan saya tengok saja. Saya balik dari Hobart ke Kota Bharu 24 jam, dua kali transit. Sebab mahu selesaikan tanggungjawab saya,” tambahnya lagi.

Justeru, hasrat membina semula negara daripada terus dihancurlumatkan rejim pimpinan yang tidak amanah lagi kleptokrat hanya akan tercapai jika ribuan golongan ilmuwan bangkit bersuara.

 

* Tulisan ini kali pertama terbit di akhbar Amanah Bil 88, 4-10 Februari 2018, halaman 19.

CATEGORIES