Malaysia sasar 1,600 pengeksport produk halal menjelang 2020

Malaysia sasar 1,600 pengeksport produk halal menjelang 2020

Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) menyasarkan untuk menggandakan bilangan syarikat pengeksport produk halal kepada 1,600 buah menjelang 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin berkata ia susulan prospek positif terhadap pertumbuhan global sejajar unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa sebanyak 3.4 peratus tahun ini.

Jumlah dagangan dunia turut diunjur berkembang kepada 3.8 peratus tahun ini.

“Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar Malaysia juga dijangka meningkat kepada 4.4 peratus tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat mengenai prestasi dan prospek industri halal di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Jamil berkata industri halal juga akan menyumbang sebanyak 8.7 peratus kepada KDNK Malaysia pada 2020.

Selain itu, beliau turut menyifatkan tempoh ini sebagai mencabar bagi industri berkenaan.

“Namun, menerusi disiplin kita dengan berpegang teguh kepada program-program strategik, industri halal berjaya berkembang dan terus memaparkan daya tahannya,” katanya.

Dari segi pembangunan ekonomi, Malaysia mencatat pelaburan sebanyak RM13.2 bilion di taman-taman (industri) halal yang menyaksikan eksport kira-kira RM205.1 billon bagi tempoh 2011 hingga September 2016 yang disumbang oleh seramai 1,401 pengeksport.

Unjuran sebelum ini menyatakan menjelang 2020, eksport halal Malaysia akan melebihi RM50 bilion.

“Integriti produk makanan halal dalam kalangan pengguna Muslim serta yang melanggani barangan itu jelas dipacu oleh permintaan.

“Berikutan itu, penggiat industri juga yakin dengan jangkaan mereka terhadap industri halal Malaysia,” katanya.

Menurut Jamil, prestasi memberangsangkan HALMAS Halal Park pada 2016 menyaksikan pelaburan baharu sebanyak RM700 juta dalam sektor makanan dan minuman; RM1,384 juta (sektor bahan ramuan) dan RM511 juta bagi sektor lain.

Malah, pelaburan halal juga dijangka mencecah RM15 bilion menjelang 2020.

Sejak penubuhannya pada 2006, HDC menjadi pihak bagi menyelaras dan menyediakan kemudahan kepada pembangunan keseluruhan dan galakan industri halal Malaysia menerusi usaha sama dengan pelbagai agensi kerajaan bagi mentransformasi landskap halal.

Jamil turut menggariskan enam teras pelaksanaan kejayaan pembangunan industri halal, termasuk dasar dan peraturan, pengembangan di peringkat antarabangsa, pembangunan perusahaan halal dan bumiputera.

Selain itu di peringkat antarabangsa, katanya, HDC menyasarkan negara-negara terutamanya Jepun, China dan ASEAN selain Indonesia dan Kemboja.

“Rancangan di Jepun adalah untuk menjana (pendapatan) tambahan sebanyak US$10.3 bilion (US$1 = RM4.46) menerusi industri halal dengan tumpuan terhadap temasya Olimpik 2020. China pula mempunyai 30 juta penduduk dengan pertumbuhan pasaran halal tahunannya sebanyak 10 peratus.

“Strategi (China) Satu Jalur, Satu Laluan yang mana produk-produk halal dikenal pasti sebagai enjin pertumbuhan menerusi kerjasama Malaysia-China, akan memberi akses untuk Malaysia menembusi pasaran penduduk Muslim China yang sememangnya sukar bagi pihak asing,” katanya.

CATEGORIES