Mana perginya jiwa merdeka?

Mana perginya jiwa merdeka?

‘Di atas robohnya kota Melaka, kita bangunkan jiwa merdeka.’

Ini sebuah metafora dari pejuang kemerdekaan Dr. Burhanudin Al-Helmy yang sering diulang-ulang oleh pelbagai pihak untuk menuntut manusia Melayu ‘berjiwa merdeka’.

‘Jiwa merdeka’ sangat dirindukan terutamanya pemikir, penulis dan pejuang kebebasan.

“Jiwa merdeka’ disebut oleh Dr. Burhanuddin di tahun 50-an, ketika era pejuang kemerdekaan tanah air menyemarakkan perjuangan menuntut kemerdekaan.

Pada waktu itu, slogan ‘jiwa merdeka’ berkumandang dari kota ke desa dan dari desa ke kota. Betapa mulianya jika tanah air yang dicintai bebas dari penjajah dan rakyat membangun negara bersama jiwa merdeka.

Hari ini, 70 tahun lebih telah berlalu, selepas zaman itu, maka sangat wajar kita menziarahi kembali makna ‘jiwa merdeka’. Masihkah kita berjiwa merdeka?

Memang kota Melaka telah roboh, tidak ada lagi penjajah bermata biru, dasar negara tidak lagi ditentukan oleh No 10 Dawning Street, Pejabat Tanah Jajahan British di London.

Kita telah merdeka, negara telah membangun, menjadi sebuah negara moden. Banyak desa menjadi kota dan kota riuh rendah siang dan malam dengan segala rentak tidak henti-hentinya.

Tetapi persoalannya di sini apakah kita kini benar-benar telah memiliki jiwa merdeka. Maknanya bebas berjuang untuk mendapatkan kebebasan, menegakkan keadilan dan kemanusiaan.
Apakah kita benar-benar-benar menjadi pemberani untuk memperjuangkan hak-hak kita sendiri, atau kita sentiasa dalam ketakutan untuk berjuang menegakkan keadilan, kebebasan dan mempertahankan kemanusiaan.

Persoalan ini hanya boleh dijawab oleh mereka yang mampu berfikir kerana pra-syarat ‘jiwa merdeka’ itu mesti didukung oleh mereka yang mampu berfikir.

Di dalam Al-Quran, Allah s.w.t. mengarahkan umat Islam supaya menjadi ‘Liqaumin Yatafakkarun’, menjadi umat yang berfikir. Di samping itu berulang kali juga disebut di dalam Al-Quran mengenai keadilan, justeru keadilan itu menjadi asas segalanya.

Umat Nabi Muhamad s.a.w. pula, seperti yang disebut dalam Surah Al-Baqarah:

“Kami dijadikan sebagai umat pertengahan, menjadi pengadil dan menjadi saksi antara manusia (menegakkan keadilan) dan Rasul-Nya menjadi saksi’.

Maknanya di sini umat Nabi s.a.w. mesti menjadi penegak keadilan. Maka perjuangan menegakkan keadilan dan kebebasan menjadi asas segalanya.

Oleh itu, mengamati suasana yang ada sekarang, apakah kita benar-benar sudah memiliki ‘jiwa merdeka’ atau bagaimana?

Mereka yang berjiwa merdeka mampu berfikir dan bertindak dengan segala kewarasan, untuk menentukan mana yang benar dan mana yang salah, mana yang adil dan mana yang tidak adil.

Pemilik ‘jiwa merdeka’ adalah orang yang mulia dan layak kerana berani menegakkan keadilan dan kebenaran.

Kata nobelis Pramoedya Ananta Toer, manusia itu dikurniakan sifat berani, tetapi jika tidak ada keberanian, apalagi yang ada pada seseorang itu.

Oleh itu, dalam suasana yang ada sekarang, masihkah kita memiliki keberanian untuk menegakkan jiwa merdeka. Justeru pelbagai kemungkaran telah bermunculan di tanah air kita – rasuah, perkauman, penyelewengan, salah guna kuasa, pembaziran dan pelbagai lagi. Iaaitu semuanya disebabkan tidak amanah. Jiwa merdeka mendukung sifat amanah ini.

Untuk menentang semua kemungkaran tadi, maka rakyat bukan saja perlu memiliki jiwa merdeka, tetapi juga keberanian yang luar biasa, kerana risikonya amat tinggi.

Kesimpulannya, bayangkanlah bagaimana jika Allahyarham Dr. Burhanuddin Al-Helmy masih ada hayatnya dan menyaksikan kemelut yang wujud sekarang, yang dilihat sangat mencabar jiwa merdeka.

Oleh itu adakah kita, sebagai pewaris bangsa ini, mampu melaksanakan kembali seruannya – ‘Di atas robohnya kota Melaka, mari kita bangunkan jiwa merdeka’?

TAGS