Manipulasi  negara Arab dan umat Islam oleh Amerika Syarikat

Manipulasi negara Arab dan umat Islam oleh Amerika Syarikat

Semasa Presiden Barack Obama masih berkuasa beliau cuba mengimbangi kuasa Negara negara Arab di Timur tengah. Kerajaan Arab Saudi tidak diberi terlalu banyak “keistimewaan” sebagaimana diberi Presiden Amerika sebelum beliau.

Pemilihan Donald Trump sebagai Presiden Amerika telah melihat perubahan ketara sikap Amerika di Timur Tengah. Sikap Trump yang kurang diplomasi dan kurang pengalaman serta kebijaksanaan telah membuat beliau menimbulkan suasana negatif serta tidak sihat di Timur Tengah. Sikap berpihak kepada kumpulan sekutu Arab Saudi menimbulkan ketegangan dan berpotensi untuk mencetus krisis baru di rantau benua Arab.

Kita dari awal lagi sudah mendengar kenyataan anti Islam Donald Trump dan sikap gemar berkonfrantasi Presiden Amarika itu. Sikap ini pastinya akan membuat suasana dunia Islam makin bergolak.

Arab Saudi sepatutnya lebih berwaspada dengan sikap Amerika. Pada lawatan terbaru Trump ke Arab Saudi ternyata Trump telah menyemai benih persengketaan baru dalam kalangan negara Arab-Islam.

Tidak hairanlah terjadinya pertelingkahan baru diantara Arab Saudi dan sekutunya yang telah memutuskan hubungan mereka dengan Qatar atas tuduhan hubungan keganasan walaupun Qatar telah lama nafikan tuduhan ini.

Ini adalah taktik lama pecah dan perintah supaya dunia Arab-Islam iaitu Arab Saudi serta sekutunya menjadi lebih rapat dengan Amerika dan lebih bermusuhan dengan Iran serta sekutunya.

Tidak hairanlah juga Arab Saudi membeli berpuluh Billion senjata lagi dari Amerika semasa lawatan Trump baru baru ini sebagai “persediaan” peperangan dengan jiran jiran Arab – Islam.

Sebulan sebelum itu Trump telah juga menawar untuk menjual senjata Amerika kepada Qatar seperti dilapor oleh media antarabangsa. Sebenarnya 80 % pengganas serangan World Trade Centre pada tahun 2001 adalah rakyat Saudi.

Arab Saudi adalah sebuah kerajaan yang tidak mengamal sistem demokrasi. Kerajaan Saudi juga telah menyerang negara kecil miskin Yaman tanpa mendapat apa apa teguran dari Amerika. Dunia Arab- Islam sekarang diambang lebih banyak peperangan dan kemusnahan. Trump dan Amerika berjaya sekali lagi menyemai benih kehancuran dalam kalangan negara negara Arab- Islam.

Donald Trump

Dengan senario bertambahnya persengketaan ini, pihak pengganas akan lebih berjaya menarik penyokong serta sukarelawan untuk menyerang sasaran sekutu Negara Barat dengan lebih luas dan dasyat. Amerika ternyata lebih selamat kerana negaranya lebih susah dimasuki berbanding Negara Barat lain yang menjadi sasaran yang lebih mudah ditembusi.

Apa yang penting bagi Trump ialah untuk mengutamakan dunia perniagaan, supaya “business” industri Senjata dan Peperangan akan lebih maju dengan tempahan senjata serta pesawat perang dari Arab Saudi serta sekutunya. Perniagaan Industri Perang Amerika akan terus maju sementara Negara Arab Islam makin terjebak dalam pembunuhan sesama sendiri.

Ini adalah akibat tidak ada kebijaksanaan serta sikap penting diri sendiri para pemimpin Negara Arab Islam. Sementara orang Islam sibuk memerangi satu antara lain, kuasa besar luar terus mengaut keuntungan lumayan serta menambah kuasa penjajahan halus minda orang Islam.

Orang bukan Islam tidak perlu “memerangi kita” secara fizikal kerana minda kita telah lama dijajah Barat dan terus dijajah sehingga hari ini. Negara kuasa besar Amerika dan Barat mahu kerajaan Negara orang Islam terus mengamal rasuah, terus gila memegang kuasa dengan apa cara sekali pun dan menindas serta memperbodohkan rakyat sendiri.

Kerajaan yang korup dan rasuah lebih senang di kawal oleh Amerika. Ini bukan hanya berlaku di kalangan negara Arab-Islam tetapi malangnya sedang berlaku juga di negara lain termasuk Negara Melayu-Islam Malaysia. Bilakah kita akan sedar dan keluar dari situasi ini ?

Masalah Negara Negara Islam akan berterusan selagi pemimpin yang korup dan salah guna kuasa terus berkuasa dan membuat keputusan mengikut kepentingan diri serta kroni.

“Agama” dan “kaum-bangsa” hanyalah alat yang dipergunakan untuk menghalalkan tindakan untuk kepentingan diri dan ahli keluarga. Pemerintah Arab Saudi serta pemerintah Kerajaan tentera Mesir adalah contoh kepentingan peribadi dan tiadanya demokrasi yang sebenarnya. Alasan agama dan kaum telah menjadi senjata yang amat ampuh dan berkesan untuk parti pemerintah mengekalkan kuasa mereka.

Rakyat Negara Islam harus perlu berwaspada dengan manipulasi kuasa besar luar. Qatar telah berbelanja USD1bilion wang mereka sendiri untuk membenarkan Amerika menempatkan pengkalan tentera yang besar, dengan 10,000 orang tentera Amerika, untuk operasi di Afghanistan dan Syria selama ini tapi dengan sekelip mata semasa lawatan baru baru ini, Presiden Trump dan Amerika telah menghasut Arab Saudi serta sekutunya memusuhi dan memencilkan Qatar.

Itulah cara politik kuasa besar Amerika – Barat melaga lagakan Negara Arab-Islam untuk kepentingan diri mereka sendiri.

CATEGORIES
TAGS