Manipulasi undi pos babit pemimpin Umno Permatang Pauh didedah

Manipulasi undi pos babit pemimpin Umno Permatang Pauh didedah

Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mendedahkan menerima satu rakaman audio dipercayai membabitkan pemimpin Umno Bahagian Permatang Pauh berhubung pemindahan sejumlah 800 pengundi pos di Parlimen Permatang Pauh.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang Dr Afif Bahardin mengakui menerima rakaman audio berdurasi 1 minit 7 saat itu daripada individu yang dikenali beberapa hari lalu.

Rakaman audio itu dipercayai berlaku ketika program Pemukiman Jentera Pilihan Raya Umno Cawangan di Parlimen Permatang Pauh yang diadakan pada 28 Januari lalu di Politeknik Seberang Perai.

“Dalam rakaman audio ini terdapat satu perkara yang telah menimbulan kegusaran kami serta mengesahkan dakwaan kami (sekiranya rakaman audio itu benar) yang mana berlaku manipulasi undi terutama melibatkan undi pos dan undi awal,” ujarnya dalam sidang media diadakan di ibupejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Bagaimanapun PKR tidak bercadang untuk membuat sebarang laporan polis mengenai penerimaan rakaman audio tersebut sebaliknya menegaskan, mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) mengambil maklum tersebarnya maklumat berkaitan rakaman audio tersebut.

” Kami mendesak SPR dan PDRM memberi penjelasan segera mengenai dakwan terdapat 800 pengundi pos/awal ini untuk bertindak mengambil tindakan undang-undang di bawah mana-mana akta bagi menghalang penipuan itu dilakukan oleh Umno dan Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang,” ujar Dr Aifif yang juga Timbalan Ketua AMK .

Rakaman audio itu menurut Dr Afif lagi mengandungi ucapan selama 20 minit oleh pemimpin Umno bahagian itu, namun hanya kenyataan yang dibuat berdurasi 1.07 saat itu didedahkan kepada pihak media.

Transkrip rakaman audio yang turut diedarkan dalam sidang media hari ini menyebut:

“Semua gerak kerja- gerak kerja sulit ini tuan-tuan yang dibuat di peringkat-peringkt tertinggi, yang ramai ketua bahagian pun tak tahu, ramai ketua pun tak tahu.

“Saya pun tak tahu tuan-tuan. Saya bagi tahu. Tuan-tuan ini rahsia ini, yang kita mendapat pengundi-pengundi bonus, kita jangan cerita kat siapapun. Kita mendapat pegundi bonus 800 lebih pengundi polis daripada sebelah Tanjung yang sebelah dekat Datuk Keramat itu, yang sebelah Penang Road itu yang dipindahkan secara sulit ke Permatang Pauh. (tepuk tangan kedengaran)

“Mereka bertugas di IPD, mereka bertugas di IPK,mereka akan mengundi di Permatan Pauh. Kita strategi benda-benda yang diatur oleh benda-benda teknikal ni kadang-kadang kita tak boleh cerita ke semua orang.

“Tuan-tuan sebagai ketua cawangan, ketua pemuda, ketua wanita,setiausaha cawangan yang terpilih ini. Saya bagi tahu ini saya mahu menanam keyakinan dalam diri.”

Ditanya media kemungkinan beliau mengenali suara yang dirakamkan dalam audio tersebut, Dr Afif mengakui mengenali pemimpin Umno itu tetapi enggan mendedahkannya sebaliknya pihak media ujarnya, perlu melakukan siasatan sendiri terhadap pemilik suara berkenaan.

Turut hadir dalam sidang media sama Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Nurul Izzah berkata SPR perlu melakukan sesuatu bagi memastikan pilihan raya akan datang tidak dimanipulasi oleh Umno dan BN.

“Saya mendesak SPRM memasukkan kesalahan pilihan raya dan amalan yang menyalahi undang-undang di bawah akta kesalahan pilihan raya yang mana kodnya perlu diperluaskan untuk memberi kuasa kepada SPRM menyiasat semua kesalahan termasuk penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan sementara dan SPR, PDRM sendiri.

“Dalam dakwaan terkini (rakaman audio) terhadap SPR dan PDRM kita tiada pilihan untuk mendesak SPRM menjalankan siasatan.

“Ini kerana kita telah banyak membuat laporan polis sebelum ini dalam beberapa pendedahan penyalahgunaan kuasa oleh SPR dan PDRM ini.

“Saya percaya ada ramai ahli Umno termasuk keanggotaan SPR dan  PDRM  yang memang menolak segala usaha untuk memanipulasi pilihan raya.

“Kita bergantung kepada mereka malangnya agensi yang dipertanggugjawab untuk melakukan sesuatu itu tidak bertindak sewajarnya,” terang beliau.

5.0
OVERALL SCORE
: 5.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS