Mapim seru bantuan segera ke Aleppo

Mapim seru bantuan segera ke Aleppo

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pengarah Strategik Mapim Sani Arabi Abd Halim berkata situasi kemanusiaan sangat genting di wilayah tersebut pada masa ini dengan jumlah pelarian meningkat kepada 80,000 orang dan amat memerlukan bantuan makanan serta perubatan.

“Kami menguar-uarkan bantuan sumbangan dihulurkan untuk mangsa konflik di negara melalui akaun Maybank 5628 3463 6987 atas nama Syria Emergency Appeal Dana Mapim,” katanya kepada media sebelum berlepas ke Syria hari ini.

“Dalam masa lima hari tabung derma untuk misi bantuan kecemasan Rescue Syria yang dilancarkan di media sosial sebelum ini berjaya mengutip sejumlah RM500,000,” katanya.

Sani yang mengetuai misi menghantar bantuan ke Aleppo bersama tiga yang lain berkata jumlah bantuan yang terkumpul itu bagaimanapun masih jauh daripada sasaran iaitu sebanyak RM2 juta.

“Namun kita tidak mampu menunggu hingga sasaran tersebut dapat dikumpul memandangkan keadaan yang sangat genting di sana.

“Oleh itu kumpulan pertama ini yang diketuai saya sendiri akan berangkat dahulu ke Syria dan berada di sana selama 10 hari untuk menghantar bantuan makanan dan perubatan termasuk rancangan pembinaan 1,000 buah khemah untuk pelarian bernilai RM50,000,” katanya.

Sani berkata mereka akan turut mendapatkan bekalan perubatan dari Turki dan membeli makanan daripada petani di kawasan Syria yang tidak terjejas.

“Selain itu, rakyat tempatan juga akan menghadapi keadaan yang lebih sukar dengan kehadiran musim sejuk dan kita juga akan menghantar 3,000 selimut dan baju sejuk untuk kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata bantuan yang disalurkan adalah misi kali ketujuh dilaksanakan Mapim sejak tercetusnya konflik di Syria.

Jelasnya rombongan yang kedua dijangka berlepas pada 15 Januari tahun depan dengan disertai 10 ahli Mapim.

TAGS