‘Mari bentuk kawanan helang robek undang-undang sarang labah-labah’

‘Mari bentuk kawanan helang robek undang-undang sarang labah-labah’

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mengajak rakyat bersama-sama bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Bahri Mohamad Zin menghapuskan undang-undang “sarang labah-labah”.

Beliau berharap Bahri yang memilih untuk bersara awal tidak mengakhiri ‘perang menentang rasuah berprofil tinggi’ sebaliknya dapat memimpin rakyat ke arah itu.

“Jangan biarkan “undang-undang sarang labah-labah” terus bersarang. Ayuh kita bersama rakyat membentuk “kawanan helang” untuk merobek “undang-undang sarang labah-labah” bagi memastikan undang-undang negara kita bukan “undang-undang sarang labah-labah” yang hanya menghukum golongan kecil ataupun marhaen sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Bahri memberitahu media bahawa beliau tidak lagi wajar berkhidmat dengan “undang-undang sarang labah-labah” yang disifatkan hanya memerangkap pesalah kecil, manakala pelaku yang lebih besar terlepas daripada tindakan.

Bahri, 58, yang merupakan bekas Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM bersara mulai Jumaat lalu selepas berkhidmat dengan agensi pencegahan rasuah itu sejak lebih 30 tahun lalu.

Bahri menjelaskan, perjalanan dan kesan siasatan ke atas bekas anak syarikat 1MDB mendorong beliau memilih bersara awal.

Beliau memainkan peranan penting menyiasat SRC dan menjadi perhatian apabila sejumlah RM42 juta dananya ditemui pada akaun persendirian Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun perdana menteri mendakwa beliau tidak tahu menahu wang itu adalah dari SRC.

BOK ditubuhkan pada 2010 untuk membolehkan SPRM menjalankan siasatan kes berprofil tinggi, terutama membabitkan rasuah bernilai lebih RM1 juta.

Selain beberapa pegawai BOK ditahan polis, Bahri juga diberikan diarahkan berpindah ke Jabatan Perdana Menteri melalui notis serta-merta pada Ogos tahun lalu.

Mengulas lanjut, Mahfuz mencadangkan parti-parti politik dan NGO menggerakkan kesedaran rakyat untuk bersama-sama Bahri memerangai rasuah seperti Kempen Mematikan Lampu pada malam hari sebagai tanda kegelapan masa depan negara akibar rasuah.

“Saya mencadangkan agar ada usaha dalam kalangan parti-parti politik dan NGO mengerakkan kesedaran rakyat, paling tidak dengan adakan kempen mematikan lampu di malam hari untuk satu tempoh beberapa minit pada satu tarikh yang dipilih sebagai tanda keluhan dan keresahan masa depan rakyat dan negara yang gelap akibat rasuah yang menjijikkan,” katanya.

Beliau juga berkata, seluruh pegawai kerajaan sewajarnya berasa bangga terhadap tindakan Bahri dan memberikan sokongan kepada beliau.

“Bahri lakukan kerana pertahankan hak pegawai-pegawai kerajaan untuk melaksanakan tugas yang diamanah dengan penuh intergriti tanpa gangguan kuasa politik.

“Sewajarnya seluruh pegawai kerajaan berasa bangga dengan menunjukkan sikap dan memberi sokongan pada Bahri.

“Seluruh warga SPRM sewajarnya mengadakan pertemuan sokongan dan solat hajat solidariti untuk Bahri di kediaman beliau,” katanya.

TAGS