Maria Chin: Biar polis siasat, kata Azalina

Maria Chin: Biar polis siasat, kata Azalina

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Semua pihak perlu menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan secara profesional terhadap Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah yang ditahan Jumaat lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata polis memerlukan ruang agar proses keadilan dapat dijalankan mengikut lunas undang-undang.

“Semua pihak perlu menghormati dan berpegang kepada prinsip perundangan yang diamalkan. Penahanan Maria mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012 adalah sebagai langkah pencegahan yang digunakan pihak berkuasa.

“Akta ini memberi ruang untuk tahanan mendapatkan nasihat perundangan daripada peguam berbanding Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Malah tempoh penahanan adalah lebih singkat iaitu maksimum 28 hari bagi maksud penyiasatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Azalina, Maria juga telah menggunakan hak beliau seperti mana dibenarkan dalam Perlembagaan Persekutuan, dengan memfailkan permohonan habeas corpus di mahkamah yang bermaksud beliau boleh mencabar alasan tahanan dan tatacara tahanan.

“Ini bermakna kuasa semakan kehakiman dikembalikan sepenuhnya kepada mahkamah bukan seperti dalam ISA yang menghalang kuasa semakan kehakiman. Ini menunjukkan undang-undang Malaysia hari ini bertambah baik, selaras dengan keperluan hak asasi,” katanya.

TAGS