Maria Chin nafi wujud revolusi guling kerajaan

Maria Chin nafi wujud revolusi guling kerajaan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah menafikan dakwaan Bersih 2.0 cuba memulakan “revolusi warna” untuk menggulingkan kerajaan.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Maria berkata, jika badan bukan kerajaan (NGO) itu sememangnya berhasrat menjatuhkan kerajaan melalui “revolusi warna”, ia tidak akan mendapat sokongan rakyat.

“Saya akan biar rakyat menilai apa yang kami lakukan. Jika kami cuba memulakan revolusi, bilangan orang yang hadir pada perhimpunan dan ‘vigil’ nyalaan lilin baru-baru ini adalah sifar,” katanya.

Maria mengulas dakwaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa beberapa pertubuhan dipengaruhi gerakan “revolusi warna” seperti Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Majlis Peguam Malaysia, Malaysiakini dan Sarawak Report.

Sehubungan itu, menteri dalam negeri itu berkata, sebuah jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk membanteras usaha menggulingkan kerajaan akan mencari maklumat berkaitan “sehingga ke lubang cacing”.

Maria berkata, Bersih 2.0 sentiasa telus mengenai permintaan mereka yang langsung tiada kaitan dengan revolusi mahupun usaha menjatuhkan kerajaan.

“Agenda kami ialah tadbir urus baik dan pilihan raya bebas serta adil. Adakah kerajaan mengatakan ini bukan agenda mereka juga?” soalnya.

TAGS