Masjid,surau platform terbaik  menyatupadukan ummah, kata tokoh Maal Hijrah

Masjid,surau platform terbaik menyatupadukan ummah, kata tokoh Maal Hijrah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Masjid dan surau adalah platform terbaik untuk menyatupadukan ummah dan seterusnya mengukuhkan ukhwah Islamiah masyarakat sesebuah tempat, kata Tokoh Maal Hijrah 2016 peringkat Johor, Abu Bakar Watak.

Menurut beliau, sudah tiba masanya untuk memantapkan peranan institusi itu dengan pengisian program yang lebih baik agar dapat meningkatkan ukhwah dalam kalangan masyarakat.

“Terdapat banyak masjid dan surau di negara kita dan kita seharusnya mengambil contoh dan teladan yang ditinggalkan Nabi Muhammad S.A.W dengan menyatukan golongan Muhajirin dan Ansar melalui amalan solat berjemaah, ” katanya selepas sambutan Maal Hijrah semalam.

Abu Bakar, 67, dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah kerana peranan aktifnya dalam menyebarkan dakwah di seluruh negeri melalui pelbagai media seperti radio, televisyen dan media cetak.

Anugerah bersama wang tunai RM10,000 serta sijil penghargaan dan hadiah iringan daripada kerajaan negeri itu disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin setelah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Dalam perkembangan sama di Kuala Lumpur, Mursyidul Am Pas Allahyarham Datuk Dr Haron Din dianugerahkan Anugerah Khas Maal Hijrah manakala bekas Ketua Hakim Negara Tun Dr Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan pada sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1438H.

Allahyarham Haron dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Maal Hijrah kali ini atas sumbangan besar beliau dalam memartabatkan Islam di peringkat nasional dan global.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menyampaikan hadiah berbentuk wang tunai RM100,000 dan sijil penghargaan kepada anak sulung allahyarham, Dr Huda Haron, pada majlis sambutan di Taman Ekspo Agropertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang.

Allahyarham Haron, 76, meninggal dunia di Hospital Stanford, San Francisco, Amerika Syarikat pada 16 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Sementara itu Dr Huda ketika ditemui pemberita menyifatkan anugerah berkenaan amat bermakna bagi keluarganya.

“Selain bermakna bagi keluarga kami, anugerah ini juga cukup bermakna bagi kesemua anak murid Allahyarham yang pernah menimba ilmu daripada ayahanda saya selama ini. Oleh itu saya berterima kasih kepada kerajaan,” katanya.

Ahmad Fairuz ketika ditemui pemberita berkata beliau mahu melihat lebih banyak undang-undang negara yang tidak selaras dengan Islam disesuaikan dengan ajaran Islam dari semasa ke semasa.

Beliau berkata antara undang-undang yang boleh diselaraskan dengan ajaran Islam ialah undang-undang komersial dan undang-undang perniagaan.

“Malaysia sudah berjaya dengan perbankan Islam di mana hampir 70 peratus pelanggannya merupakan mereka yang bukan Islam.

“Apabila Malaysia berjaya memperkenalkan perbankan Islam, Malaysia turut kembangkan syiar Islam,” katanya lagi.

Sementara itu Dr Huda ketika ditemui pemberita menyifatkan anugerah berkenaan amat bermakna bagi keluarganya.

“Selain bermakna bagi keluarga kami, anugerah ini juga cukup bermakna bagi kesemua anak murid Allahyarham yang pernah menimba ilmu daripada ayahanda saya selama ini. Oleh itu saya berterima kasih kepada kerajaan,” katanya.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat pada majlis yang bertemakan ‘Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummh’.

Turut hadir menyaksikan penyampaian anugerah ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

 

TAGS