MB Kelantan bercuti, Nik Amar pangku tugas

MB Kelantan bercuti, Nik Amar pangku tugas

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub kini bercuti rehat selepas dibenarkan keluar daripada hospital setelah menerima rawatan.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah akan melaksanakan tugas-tugas Menteri Besar sepanjang tempoh ketiadaan beliau.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Ahmad turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesejahteraan dan kesihatan beliau.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau:

Saya telah pun diberi kebenaran oleh doktor pakar yang merawat saya  untuk pulang berehat di rumah bermula pada petang ini.

Sepanjang tempoh saya diberi cuti rehat, YB Timbalan Menteri Besar Kelantan akan melaksanakan tugas-tugas Menteri Besar dengan dibantu oleh Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Seiring dengan dasar Merakyatkan Membangun Bersama Islam (MMBI), kebajikan dan kesejahteraan rakyat sangat diutamakan.

Oleh itu, saya berharap seluruh pegawai dan kakitangan awam hendaklah pro-aktif dalam memenuhi khidmat kepada rakyat secara jujur, amanah dan penuh integriti.

Dalam keadaan cuaca yang panas ketika ini, sama-samalah kita bermunajat dan berdoa pada pagi jumaat esok bagi memohon rahmat dan kasih-sayang Allah dalam solat istisqa’ yang diadakan di Padang Hoki bermula jam 4.30 pagi.

Semoga dengan pengabdian yang jitu kepada Allah, hujan barakah akan turun dengan mencurah-curah di negeri ini.

Saya turut mengambil kesempatan merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus berdoa untuk kesejahteraan dan kesihatan saya secara berpanjangan.

Ahmad dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian 13 April lalu setelah mengadu sakit di bahagian kepala dan disahkan doktor mengalami darah beku di kepala.

Beliau kemudian menjalani pembedahan kecil di bahagian kiri kepala dan mendapat rawatan susulan di hospital yang sama.

TAGS