MB Selangor dakwa pencemaran air bermula di sungai Negeri Sembilan

MB Selangor dakwa pencemaran air bermula di sungai Negeri Sembilan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Negeri Sembilan serta agensi persekutuan memperkukuh kerjasama bagi mengheret dalang pencemaran air ke muka pengadilan.

Walaupun kecewa dengan pencemaran air berulang, beliau sekali lagi menegaskan punca pencemaran bukan dari Selangor sebaliknya di Hulu Sungai Buah yang berada di Negeri Sembilan.

“Semua punca pencemaran ini berada di dalam Negeri Sembilan, bukan Negeri Selangor. Hulu Sungai Buah berada di Negeri Sembilan.

Sungai disekat untuk mengelakkan pencemaran tersebar.“Aliran Sungai Buah ini masuk ke Sungai Semenyih menyebabkan ia mengganggu Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih, maka kita terpaksa menutup loji rawatan itu,” katanya pada sidang media selepas melawat kerja penyedutan air keluar yang dilakukan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Air Selangor di Kampung Sungai Buah, lapor Selangorkini.my, laman rasmi kerajaan negeri Selangor.

Menurut laporan itu, hasil tinjauan dan siasatan yang dilakukan pasukan LUAS dan Air Selangor semalam menemui punca bau pada jam 1.50 petang berhampiran R&R Nilai arah utara.

Punca bau ‘solvent’ yang kuat ditemui di aliran anak Sungai Buah di lereng bukit KM45.9, Lebuhraya Elite, pada jam 6.10 petang.

Bacaan tertinggi pada kadar 22 ton pula dikesan di Memorial Park, Nilai.

Beliau berkata, kelewatan JAS Negeri Sembilan yang mula mengumpul maklumat pagi ini walaupun JAS Selangor sudah memaklumkannya semalam turut mendukacitakan Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri bersedia untuk bekerjasama dengan jabatan dan agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, Jabatan Alam Sekitar Selangor dan SPAN selain mengharapkan ia (kerjasama) dapat dipertingkatkan.

“Ini bukan ‘blame game’. Kita tidak menyalahkan mana-mana pihak tetapi mahu kordinasi yang mantap supaya pelaku pencemaran ini dikenakan tindakan paling keras dan tegas,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri sudah mengambil tindakan dalam ruang lingkup sedia ada dan mengharapkan JAS mengemukakan laporan lengkap serta bukti kepada Jabatan Peguam Negara untuk pendakwaan lanjut.

Kerja penyedutan keluar air tercemar di Sungai Buah masih berlangsung dan difahamkan tiga lagi mesin air akan tiba untuk mempercepatkan proses memindahkan air tercemar.

Sementara itu, LRA Sungai Semenyih sudah kembali beroperasi pada jam 5.00 pagi hari ini sejak ditutup jam 7.30 pagi semalam bagi membolehkan 1.8 juta pengguna menikmati semula perkhidmatan air secara berperingkat.

Sebelum ini, portal berita The Sun Daily melaporkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin mendakwa siasatan awal menunjukkan pencemaran air di Sungai Semenyih disabotaj UMNO dan mengaitkannya dengan pilihan raya umum (PRU) yang semakin hampir.

Ekoran itu, Umno Selangor mencabar Azmin membuat laporan polis bagi membuktikan dakwaan pencemaran air di Sungai Semenyih adalah angkara sabotaj Umno dan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar, berkata pihaknya tidak terkejut dengan tuduhan tidak berasas itu kerana mendakwa budaya ‘bangau oh bangau’ itu sudah menjadi amalan pembangkang sejak sekian lama.

TAGS