MCA berhimpun di Pejabat DAP Selangor tetapi hambar, lapor media DAP

MCA berhimpun di Pejabat DAP Selangor tetapi hambar, lapor media DAP

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sekitar 40 penyokong MCA berkumpul di hadapan Pejabat DAP Selangor semalam dengan diketuai Setiausaha Organisasi MCA Selangor, Low Kim Mang, lapor Roketkini.

Mereka berarak kira-kira 50 meter dari simpang utama sambil memegang plakad dan sepanduk mengkritik DAP kononnya tidak berprinsip kerana bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir dan PAS dalam pentadbiran kerajaan Pakatan di Selangor.

Setibanya di hadapan pejabat DAP Selangor, beberapa anggota kumpulan itu bersorak “Putus dengan PAS tapi di Selangor kerjasama!” “Apa sudah jadi Selangor?” “DAP tak ada prinsip!”.

Kumpulan itu kemudian mengadakan sidang media di hadapan pejabat DAP sebelum bergambar beramai-ramai dan bersurai kira-kira 40 minit kemudian.

Turut hadir di Pejabat DAP Selangor ialah Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Edry Faizal Eddy Yusof, Ahli Jawatankuasa DAPSY Selangor Muhammad Shakir Ameer dan Pengerusi DAP Cawangan SS3, Sean Oon, lapor media rasmi DAP itu lagi.

Menurut Edry, MCA sengaja memperbesarkan perkara yang telah dijelaskan sebelum ini memandangkan mereka semakin lemah dan tertekan akibat hilang sokongan rakyat.

“Dia (MCA) cakap mengenai masalah DAP dan PAS. Tak ada isu pun. DAP dah putus hubungan politik dengan PAS, yang patut risau dengan PAS ini sebenarnya MCA sebab UMNO sekarang nampaknya dah bekerjasama dengan PAS.

“Di Selangor kita sudah jelaskan, itu urusan pentadbiran. Yang putus ialah hubungan politik bukannya putus hubungan pentadbiran. Pilihan raya akan datang kita akan mula dengan muafakat baru dan sebagainya,” katanya kepada Roketkini.

Edry berkata, MCA sepatutnya sedar bahawa parti itu akan terus dipinggirkan oleh UMNO dalam komponen Barisan Nasional memandangkan hubungan akrab UMNO dan PAS semakin ketara.

“Mungkin dia tak nampak di surat khabar yang Najib pegang tangan dengan Presiden PAS Hadi Awang. MCA yang patut risau sebab selama ni dia adalah abdi kepada UMNO, dia akan ikut saja, dia kena ikut cakap UMNO.

“UMNO kata A dia kena buat A. UMNO kata dia bodoh dia kena terima dia bodoh,” katanya lagi.

Muhammad Shakir Ameer yang juga Setiausaha Eksekutif DAPSY pula berkata MCA sepatutnya buat protes depan PWTC kerana UMNO semakin rapat dengan PAS dan berkemungkinan menjalinkan hubungan politik dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

“Hingga sekarang, kita tak pernah dengar apa-apa kenyataan pemimpin MCA selepas himpunan solidariti Rohingya. Tak keluar apa-apa pun. Tak ada!

“Dia tak kutuk, dia tak respon apa pun kepada UMNO yang jelas menggambarkan mereka bekerjasama baik dan bergabung dengan PAS.

“Ini adalah persoalannya, pegang tangan, macam kawan karib, kenapa MCA tak cakap pasal tu. Mereka kata DAP kuatkan PAS. Masalahnya, MCA sendiri yang lemah. Isu kerjasama DAP, PKR, AMANAH dan PAS hanyalah dalam pentadbiran kerajaan Selangor sahaja.

“Takkan nak biarkan kerajaan pakatan runtuh dan beri kepada UMNO?” soalnya.

Ketua cawangan DAP SS3, Sean Onn pula berkata MCA bebas buat sebarang protes asalkan mengikut undang-undang.

“Selagi berkumpul secara aman, mereka bebas berhimpun,” katanya, lapor Roketkini lagi.

TAGS