MDN tubuh jawatankuasa atasi stigma komuniti Cina muslim dalam masyarakat

MDN tubuh jawatankuasa atasi stigma komuniti Cina muslim dalam masyarakat

Majlis Dakwah Negara (MDN) akan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menjadi penghubung kepada kerajaan dan agensi kerajaan dalam mengatasi stigma terhadap  komuniti Cina muslim di negara ini.

Datuk Dr Mahmood Zohdi Ab MajidMajlis Dakwah Negara (MDN) akan menubuhkan satu jawatankuasa khas  untuk menjadi penghubung kepada kerajaan dan agensi kerajaan dalam mengatasi stigma terhadap  komuniti Cina muslim di negara ini.

Pengerusinya Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zohdi Ab Majid berkata, pelbagai isu membabitkan komuniti Cina muslim dianggarkan kini sekitar 85,000 orang di negara ini, harus ditangani secara total untuk membangun dan membina masyarakat Malaysia yang lebih mampan di masa akan datang.

Stigma dikalangan masyarakat Melayu pula terhadap Cina muslim apabila istilah ‘mualaf’ itu tidak lagi dihormati dikalangan orang Melayu berbanding zaman di awal kemerdekaan dahulu.

“Dulu orang Melayu menganggap seorang mualaf itu perlu dihormati dan diraikan kerana memilih Islam.

“Sebaliknya kini mualaf merupakan satu momokan satu istilah yang kini seakan merendahkan kedudukan mualaf itu sendiri.

“Mualaf hari ini digambarkan sebagai seorang yang terpaksa meminta-minta di pejabat agama, pusat zakat dan agensi lainnya.

“Malah jabatan agama sendiri tidak cukup sensitif dalam hal ini, apabila pegawainya lebih bersikap sebagai seorang autoriti daripada seorang pendakwah.

“Hal ini MDN perlu merungkai satu persatu kerana tali yang mengikat kemerdekaan kita bersama sudah sekian lama kusut,” katanya.

Justeru  MDN akan berunding dengan pihak berkuasa supaya masalah pentadbiran di jabatan kerajaan dan agensi agama dapat diselesaikan membabitkan komuniti Cina muslim.

“Ini penting dilaksanakan kerana ia dianggap membantutkan pertumbuhan agama Islam dalam masyarakat Cina itu sendiri.

“Jika hal ini berjaya dilaksanakan selepas itu akan wujud sebuah komuniti Cina muslim yang lebih berkeyakinan, mempunyai jati diri untuk menjalankan dakwah terhadap bangsanya sendiri dan orang Melayu lebih memahami keperluan dan permasalahan Cina muslim,” Ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Cina Muslim bertema ‘Peranan Cina Muslim Dalam Pembinaan Negara Bangsa Malaysia’semalam.

Ditanya mengapa diberikan tumpuan kepada Cina muslim berbanding kaum lain, Mahmood Zohdi menjelaskan, majoriti kaum terbesar selepas Melayu adalah populasi kaum Cina di negara ini.

Justeru katanya, masalah Cina muslim dilihat lebih terpinggir berbanding komuniti India muslim.

” MDN akan pergi juga kepada kaum lain, cuma kita lihat masalah Cina muslim lebih terpinggir, India muslim pula ada kumpulannya yang mungkin tidak begitu menghadapi masalah sebagaimana Cina Muslim.

“Supaya dakwah itu boleh diperluaskan kita tidak mahu wujudnya jurang antara Cina muslim dengan bukan Islam atau Cina muslim dengan orang Melayu atau jurang sesama orang Islam di negara ini.

“Ini kerana masyarakat kita telah disektorkan mengikut kaum,agama dan kedudukan mereka sekian lama,” ujarnya.

Stigma komuniti Cina muslim

(dari kiri) Taufiq Yap, Hussein Yee  dan Mohd Ridhuan Tee

Presiden Macma Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin pula berkata, tanggapan Islam itu ‘agama Melayu’ dikalangan orang Cina perlu diperbetulkan.

“Selagi silap faham ini tidak diperbetulkan, ramai orang Cina yang tidak mahu menganut agama Melayu itu.

“Sedangkan agama Islam itu tidak dikhususkan kepada satu bangsa sahaja sebaliknya dikhusukan untuk semua bangsa.

“Dengan ada dakwah dan penjelasan dalam bahasa Cina bahawa agama Islam itu sememangnya diturunkan untuk semua bangsa ia lebih mudah untuk berdakwah di kalangan orang Cina muslim dan bukan muslim,” ujarnya.

Felo Utama,  Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)  Dr Mohd Riduan Tee Abdullah pula berpandangan, konotasi Melayu dalam perlembagaan negara yang menyatakan Melayu itu seorang yang beragama Islam, mengamalkan budaya Melayu, bertutur bahasa Melayu juga menjadi stigma dikalangan Cina Muslim.

” Kalau ikutkan perlembagaan 160 (2) itu orang Cina kalau masuk Islam mereka jadi Melayu.

“Adakah orang Cina yang masuk Islam rela dilabelkan sebagai Melayu?

“Jadi walaupun undang-undang itu berkata sedemikian, orang Cina tetap Cina. Pada masa yang sama Cina muslim kena fahami cara hidup orang Melayu, bila seseorang masuk Islam mereka suka untuk meraikannya..ini dianggap satu kelebihan yang ditonjolkan orang Melayu.

“Dilema Cina muslim pula bila berhadapan dengan keluarga dan r akan-rakan Cina yang berlainan agama, pada Cina muslim mereka bukannya Melayu tetapi keluarga dan rakan mereka menganggap sudah masuk Melayu,” ujarnya.

Presiden Al-Khadeem Sheikh Mohd Hussain Abdullah atau lebih dikenali dengan panggilan Hussain Yee berpandangan, orang Cina menganggap agama Islam itu seperti agama orang Melayu dan Arab.

Malah katanya, Cina muslim juga menghadapi masalah dengan orang Melayu yang seakan memandang cina Muslim sebagai kelas kedua.

“Kita hadapi masalah dengan orang Melayu sendiri, seakan mereka jadikan Cina muslim ‘second class’, tidak banyak suara dan adakan perbincangan kerana tidak diterima sebagai satu jemaah Islam bersama.

“Kita sebolehnya mahu buktikan bahawa Islam itu untuk semua bangsa.

“Kita juga mahu dedahkan kepada orang Cina jangan memandang negatif terhadap orang Islam untuk mewujudkan semangat perpaduan
supaya kefahaman mereka terhadap agama Islam bertambah baik dan mengeratkan hubungan antara kaum.

“Macam-macam pogram dakwah dibuat, mereka tidak berkenan dengan Islam bukan kerana Cina muslim tetapi mereka takut anak mereka jadi Melayu,” ujarnya.

Persidangan  sehari meja bulat itu dihadiri seramai 100 orang yang turut dianjurkan bersama Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma),Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim),Jabatan Kemajian Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp), Univerisiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

TAGS