Melayu Pulau Pinang dapat terbaik di bawah Pakatan

Melayu Pulau Pinang perlu berfikiran terbuka dan matang bukan dengan sentimen yang dipasak Umno.

Dalam sistem demokrasi, di mana-mana dunia pun, matlamat utama parti-parti politik yangmenyertai sebarang pilihanraya umum adalah untuk menang dan membentuk kerajaan berdasarkan kepada polisi-polisi sesebuah parti atau gabungan beberapa buah parti yang membentuk sebuah pakatan.

Begitulah juga di Malaysia, negara tercinta ini.

Kalau sekadar hanya untuk menang beberapa buah kerusi dan menjadi pembangkang dan membuat riuh rendah di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri(DUN), itu adalah cara berpolitik yang sudah ketinggalan zaman.

Di Pulau Pinang, Kerajaan Perikatan/BN telah menerajui pemerintahan Kerajaan Negeri selama 51 tahun, ia itu semenjak merdeka hinggalah ke tahun 2008. Tempoh tersebut adalah terlalu panjang.

Semestinya rakyat negeri Pulau Pinang telah terlalu arif dan faham akan gaya dan cara pemerintahan Perikatan/BN. Kejayaan dan kelemahan Kerajaan Perikatan/BN sudah diketahui umum.

Selepas PRU ke 12, pada tahun 2008, Pakatan Rakyat(PR) telah berjaya membentuk KerajaanNegeri Pulau Pinang dengan memenangi 30 kerusi DUN daripada jumlah 40 kerusi DUN, suatu kemenangan yang amat selesa bagi Kerajaan PR untuk terus memerintah tanpa bimbang ditumbangkan seperti Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

UMNO/BN cuma memenangi 10 kerusi DUN. Pada PRU ke 13 pula, UMNO/BN telah kehilangan 1 lagi kerusi DUN Seberang Jaya kepada PR. Kali ini PKR telah memenanginya setelah meletakkan Dr Afif Bahardin yang kemudiannya dilantik sebagai Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan.

Seandainya PAS tidak meletakkan calonnya di DUN Sungai Acheh, UMNO/BN hanya akan menang 9 kerusi DUN sahaja. Sekarang ADUN-ADUN UMNO adalah berperanan sebagai pembangkang yang rancak membuat riuh rendah di dalam dan luar Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Persoalannya, adakah wajar dan tepat pengundi-pengundi Melayu /Islam Pulau Pinang memberikan undi-undi mereka kepada ADUN-ADUN UMNO hanya untuk membuat bising di dalam dan di luar Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang?

Bagi saya, ini adalah suatu pembaziran undi dan kesilapan besar pengundi-pengundi Melayu/Islam Pulau Pinang. Sepatutnya ADUN-ADUN Melayu/Islam turut terlibat secara aktif dan berkesan dalam membangunkan dan memajukan masyarakat Melayu/Islam Pulau Pinang.

Kalau sekadar untuk menjadi pembangkang, orang-orang sekarang kata, “Buat habis beras saja, buat kerja-kerja Lebai Malang”.

Pada waktu ini hanya terdapat tiga orang Exco Melayu/ Islam dalam barisan Exco-Exco Kerajaan PH Pulau Pinang.

Ini adalah wajar kerana cuma terdapat enam orang ADUN Melayu/Islam dalam Kerajaan PR Pulau Pinang. Seandainya ADUN-ADUN Melayu/Islam PH bertambah menjadi 16, tentulah bilangan Exco-Exco Melayu/Islam akan bertambah.

Sekurang-kurangnya Exco-Exco Melayu/Islam boleh menjadi 5 orang. Itu lah sifir mudahnya.

Sebenarnya Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekarang ini, Lim Guan Eng adalah seorang yang terbuka dan adil.

Beliau ternyata tidak mengamalkan budaya kerja yang mendahulukan partinya dan ahli-ahli DAP, walau pun beliau boleh sahaja melaksanakannya kerana DAP mempunyai 19 ADUN dalam DUN Pulau Pinang.

Sebagai Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Lim Guan Eng boleh sahaja membuat lantikan-lantikan beberapa jawatan penting dalam badan-badan penting Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan orang-orang kepercayaannya, tetapi beliau tidak melakukannya demi menjaga kepercayaan dan sentimen orang-orang Melayu.

Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang {Penang Development Corporation}(PDC), Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang(MBPP) (Georgetown Mayor), Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai(MPSP) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang(PBAPP) adalah masih disandang oleh orang Melayu/Islam.

Seandainya Lim Guan Eng, seorang yang mengutamakan kaumnya, beliau boleh sahaja melantik ahli-ahli DAP berbangsa Cina menerajui empat jawatan utama itu kerana hak untuk membuat perlantikan jawatan-jawatan tersebut adalah berada pada Ketua Menteri.

Namun demikian, beliau memilih untuk tidak merosakkan kepercayaan pengundi-pengundi Melayu /Islam. Datuk AR Rosli Jaafar, seorang arkitek bertauliah masih kekal menjadi Pengurus Besar PDC.

Baru-baru ini, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Datuk AR Patahiyah Ismail telah bersara wajib. Penggantinya adalah Datuk Maimunah Mohd Sharif masih seorang Melayu/ Islam.

Sebelum itu Datuk Maimunah Mohd Sharif adalah Yang di-Pertua MPSP. Tempat Datuk Maimunah Mohd Sharif itu pula telah ambilalih oleh Datuk SR Rozali Mohamud, masih seorang Melayu/ Islam.

Datuk Ir Jaseni Bin Maidinsa pula dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif @ CEO Perbadanan Pekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Jelasnya tuduhan bahawa Kerajaan PH Pulau Pinang menyekat pegawai-pegawai Melayu Islam yang berkaliber, profesional dan berintegriti menjawat jawatan-jawatan penting dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah tidak berasas sama sekali. Tuduhan-tuduhan tersebut adalah fitnah semata.

Seperkara lagi yang ingin saya ulas adalah berkaitan dengan isu pengambilan tanah bermilik di Pulau Pinang. Kerajaan Negeri Pulau Pinang seperti Kerajaan Negeri lain berkuasa untukn membuat pengambilan tanah milik rakyat untuk kegunaan atau kepentingan awam.

Seingat saya, kali terakhir Kerajaan Negeri Pulau Pinang melaksanakan proses pengambilan tanah milik rakyat adalah pengambilan tanah untuk pembangunan Bandar Baru PERDA, Bukit Mertajam, Bandar Baru Cassia, Batu Kawan dan Taman Ilmu Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan.

Semua pengambilan tanah milik rakyat itu dibuat semasa BN menerajui Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Sebaliknya, Kerajaan PH Negeri Pulau Pinang telah berusaha dalam bidang kuasa mereka yang ada untuk membantu penduduk-penduduk dua kampong tradisional, Kampong Tok Subuh dan Kampong Melayu Tanjung Bungah diusir keluar dari rumah mereka oleh pemilik tanah dua kampong tradisional berkenaan.

Berdasar kepada dua sebab utama di atas, adalah wajar dan tepat bagi pengundi-pengundi Melayu/Islam memberikan undi mereka dalam PRU ke 14 nanti kepada calon-calon PH agar masa depan masyarakat Melayu Islam akan lebih terbela kerana kita bakal mempunyai wakil yang lebih dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Zaman berpolitik sekadar untuk membangkang dan menaikkan sentimen perkauman sudah tidak sesuai lagi dengan peredaran masa.

Semoga pengundi-pengundi Melayu Islam Pulau Pinang akan lebih bijaksana dalam PRU ke 14 nanti. Nasib orang-orang Melayu Islam akan lebih terbela lagi seandainya kita memmpunyai lebih ramai ADUN Melayu/Islam dalam Kerajaan Negeri.

Usah lah mempercayai kepercayaan karut bahawa hanya UMNO/BN sahaja yang mampu membela Agama Islam dan orang Melayu di Pulau Pinang. Marilah kita gunakan akal yang sihat dan rasional dalam membuat pertimbangan. Usah didengar suara-suara sumbang penoh emosi yang hanya ibarat guruh di langit sebelum hujan.

Sebenarnya titisan hujan dari langit itulah yang akan menyuburkan pepohonan dan bunga. Sebenarnya guruh di langit itu hanya gah pada bunyinya sahaja.

CATEGORIES
TAGS