Melayu yang bagaimana diperlukan

Melayu yang bagaimana diperlukan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Perhimpunan Agung Umno 2016

Perhimpunan Agung Umno kelmarin penuh dengan mesej perkauman yang menakutkan, sebuah mesej yang sama sekali bertentangan dengan suasana masyarakat moden masa kini di Malaysia.

Ia mesej yang mahu orang Melayu berfifkir kembali ke zaman purba, berdendang untuk menghiburkan hati sendiri dengan ilusi yang dicetuskan pernah oleh Hang Tuah, “Tak Melayu Hilang Didunia’.

Dari Himpunan Agung Umno yang dihadiri 3,000 orang, di PWTC itu, para pemimpin mereka meneriakkan secara lantang dan penuh ancaman,

“Kiranya Umno kalah dalam PRU akan datang, maka DAP (tentulah China maksudnya) akan memerintah.”

Premis ini sudah dijaja sekian lama, baik di kampung mahupun di bandar. Memang ada premis lama Melayu di bandar sekalipun berkongsi pemikiran seperti ini. Tetapi berapa ramai orang Melayu yang masih mahu menerima premis ini.

Cuba fikirkan lojik yang ada bahawa Melayu masih majoriti di Parlimen (bukan saja dari Umno, tapi juga dari Amanah, Pas, PKR, DAP sendiri serta MP dari Sabah dan Sarawak), DAP hanya menguasai 28 kerusi.

Jadi di mana lojik kuasa Melayu akan hilang jika Umno kalah. Orang Melayu tetap berada di Dewan Rakyat, mewakili parti lain selain Umno.

Jadi untuk mengatakan Melayu akan hilang kuasa jika Umno kalah, maka itu hanya ‘dongeng purba’ pemimpin Umno yang diucapkan di depan 3,000 pendukung parti mereka yang hadir.

Jadi dongeng ini adalah pembohongan dan jangan sekali-kali kita menerima pembohongan ini.

Ini adalah kebebalan dan kebodohan yang datang dari pelbagai lapisan pemimpin Umno yang tidak ada kapasiti berfikir.

Sebenarnya Melayu tidak boleh survive dengan pemikiran jumud seperti ini.

Jelas, pemimpin Umno mahu jadikan Melayu bangsa pengecut yang takutkan DAP sedangkan DAP hanya ada 37 Ahli Parlimen, malah terdiri dari pelbagai suku bangsa.

Adakah pemimpin Umno mahu takutkan Melayu dengan kaum Cina yang berjumlah 24 peratus?

Ini gambaran lojik yang sangat wajar difikirkan oleh orag Melayu. Untuk mendekatkan kemampuan berfikir Malayu, jangan terperosok dengan dongeng lama.

Islam telah datang ke negara ini lebih 600 tahun lalu, dibawa oleh pedagang Arab dan dari nusantara – pulau Jawa. Ia membawa Rahmat Seluruh Alam.

Islam menuntut umatnya supaya berfikir, ‘Liqaumin Yatafakkarun’. Iaitu menjadi orang yang berfikir. Tetapi mengapa dengan tiba-tiba kini orang Melayu tidak mahu berfikir. Berfikir itu satu kemuliaan, tetapi enggan berfikir itu satu kehinaan, kejumudan, undur ke belakang.

Maka pemikiran perkauman Melayu – assobiyah – itu, dalam bentuk apapun, ditentang oleh Islam. Ini kerana ia sesuatu yang undur ke belakang, tidak menjadi insan Muslim yang unggul.

Melayu yang diperlukan sekarang dan mampu berdepan dengan tantangan zaman, ialah Melayu yang mematuhi perintah Allah sepenuhnya, unggul pribadinya, tidak rasuah, tidak menipu dan menyeleweng harta orang lain, amanah, berprinsip, mampu berfikir jauh. Qualiti ini perlu ada pada diri orang Melayu maka ia baru boleh mendepani sabarang cabaran.

Wakil rakyatnya – baik di Dun mahupun di Parlimen – berbahas dengan adab, memberikan pemikiran yang bernas, berhujah dengan akhlak Islam. Barulah pemimpin/wakil rakyat itu dihormati.

Tetapi jika pemimpin itu rasuah, melakukan penyelewengan, mengambil hak orang lain, tidak amanah, lemah jiwa, memberi atau memakan sendiri dedak, maka ia pemimpin sampah, yang sama sekali tidak ada nilai. Seperti kata Sayidina Ali krw, “Mereka yang hanya memikirkan tentang isi perutnya saja (untuk kenyang), maka nilai orang itu sama seperti benda yang keluar dari perutnya.”

Dari itu orang Melayu, ‘kalau tak mahu hilang di dunia’ (kalau benar seperti kata Hang Tuah) maka ia perlu membina jati dirinya dengan Islam, amanah, mampu berfikir, tidak imosi.

Jika ia tidak mampu membina kualiti seperti ini, ia hanya akan menjadi pak turut, menjadi mangsa pemimpin yang bergelumang dengan rasuah, penyelengan dan tidak amanah.

TAGS