Melihat hak asasi dari kacamata Muslim

Melihat hak asasi dari kacamata Muslim

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Semasa Adam mahu diciptakan Allah, malaikat sudah membantah. Pada malaikat, keturunan Adam pasti akan melakukan kerosakan dan pertumpahan darah. Namun, Allah tetap mahu mencipta Adam dengan menyatakan bahawa Allah lebih tahu, sedangkan malaikat tidak mengetahui. (al-Baqarah, ayat 30)

Kelebihan yang ada pada Adam adalah ilmu. Bukan malaikat tidak diberikan ilmu, tetapi ilmu yang dimiliki oleh Malaikat tidak mampu dikembangkan, sedangkan Adam mampu mengembangkan ilmu. Atas alasan ilmu, Adam diakui malaikat sebagai layak mentadbir bumi. (al-Baqarah, ayat 31-32)

Selepas dicampak keluar dari syurga, Adam membina keluarga baru di dunia bersama dengan Hawa. Dari dua suami dan isteri sehingga beranak pinak, lahirnya kehidupan manusia atas muka bumi Tuhan ini. (al-Baqarah, ayat 36)

Ternyata apa yang dibangkitkan oleh Malaikat adalah benar. Bermula dengan rebutan terhadap seorang wanita, menyebabkan Allah menyuruh Qabil dan Habil berkorban. Namun menyedihkan, pertembungan kedua-duanya berakhir dengan berbunuh-bunuhan sesama sendiri. (al-Maidah, ayat 27)

Apa yang dibangkitkan oleh malaikat itu, bertambah benar, apabila pada hari ini kelihatan manusia berbalah, berperang dan berbunuh-bunuhan. Manusia yang mendapat Tarbiah Nabi pun, terkena dengan fitnah tersebut; iaitu apabila Saidina Muawiyyah berperang dengan Saidina Ali; Saidatina Aisyah berperang dengan Saidina Ali, walhal mereka adalah sahabat-sahabat Nabi yang besar.

Lebih parah pada zaman kini, peperangan yang tercetus bukan sekadar antara muslim dan non Muslim, malahan berlaku sesama muslim dan sesama non Muslim. Malahan, lebih menyedihkan peperangan dan pembunuhan ini dianggap suci dan qudus, dengan menggunakan nas-nas wahyu ilahi untuk menghalalkan peperangan dan pembunuhan tersebut.

HAK ASASI

Perbezaan berlaku dari sudut ciptaan semula jadi, seperti jantina, bangsa, warna kulit dan rupa paras yang luar dari ikhtiyar manusia. Perbezaan juga berlaku dari sudut kepercayaan manusia yang masih dalam ruangan ikhtitar manusia, iaitu perbezaan aliran, fahaman, idealogi dan anutan agama.

Dengan perbezaan, manusia bertembung. Lebih parah, sehingga berperang dan berbunuh-bunuhan. Masalah ini perlu diselesaikan. Masalah ini dilihat berpunca dari perbezaan yang gagal diurus.

Dengan gagal mengurus perbezaan, kadangkala berlaku penafian hak. Sesuatu bangsa menafikan hak bangsa yang lain; sesuatu kalangan yang menganut sesuatu fahaman menafikan hak kalangan lain menganut fahaman mereka dan sebagainya.

Namun begitu, dalam perbezaan, tidak bermakna manusia tidak ada kesamaaan. Demi memastikan manusia dapat dielak dari bertembung, kesamaan perlu dibesarkan dan perbedaan perlu diraikan.

Justeru, hak asasi diwujudkan. Ia sebagai mekanisma untuk memastikan hak kesamaan sesama manunsia tidak ternafi. Tidak kira ia perempuan atau lelaki; muslim atau tidak; apa bangsa sekalipun ia, dalam perbezaan itu sudah pasti ada kesamaan. Kesamaan dari sudut kebebasan, keadilan, rahmat, kemanusiaan dan berbagai-bagai lagi. Semua ini untuk memastikan nyawa, harta benda dan kehormatan manusia terjaga.

Perkara ini amat selaras dengan pesanan nabi saw dalam khutbah al-Wada’, dengan kata Baginda, “ketahuilah! Sesungguhnya darahmu, harta bendamu dan kehormatanmu, sama suci dengan hari kamu ini, bulan kamu ini di tanah suci ini”. (Ma’rifah al-Sunan wa al-Athar, hadis no : 11979)

Hak asasi tidak salah jika dimaksudkan sebagai perakuan terhadap hak sesama manusia merentasi perbezaan; tidak kira apa bangsa, apa anutan agama dan kepercayaan, apa jantina dan jenis; semua manusia perlu mendapat hak sama rata ini.

KEMANUSIAAN

Dalam hadis diceritakan bahawa semasa Nabi saw mula-mula sampai di Yasrib, seorang penganut agama yahudi (akhirnya memeluk islam) bernama Abdullah bin Salam mencelahkan dirinya dalam himpunan ramai manusia untuk mendengar ucapan Baginda SAW. Menurut Abdullah bin Salam, ucapan Baginda saw, didapati ada empat pesanan yang melayakkan seseorang itu masuk syurga dengan penuh keselamatan. Menariknya, tiga perkara adalah perkara kemanusiaan dan satu perkara sahaja perkara berbentuk keagamaan. Tiga perkara kemanusiaan itu adalah sebarkan salam, memberi makan dan melakukan hubungan silatu rahim; sedangkan satu sahaja berbentuk keagamaan itu adalah dirikan solat pada saat manusia sedang tidur. (Sya’b al-Iman, Hadis no : 3090)

Atas semangat hadis ini, Habib Ali al-Jufri memberikan satu ungkapan menarik, iaitu “al-Din Qabl al-Tadayyub”, iaitu Agama didahulukan sebelum beragama, atau ungkapan lain pentingkan soal agama berbanding soal beragama.

Al-Tadayyun atau Beragama dalam maksud menunaikan ibadat berbentuk peribadi, sedangkan al-Din atau agama bermaksud sifat agama pada segenap kehidupan manusia. Kemanusiaan adalah isu agama, sedangkan beribadat adalam isu beragama. Orang beragama, kadangkala tidak mementingkan ajaran agama seperti kemanusiaan. Ekoran itu wujud manusia yang solatnya kuat, tetapi dalam masa sama rasuahnya juga hebat; puasanya hebat, menyelewengkan dana awam juga menakutkan.

Dalam pengajian usul al-Fiqh, selalu dibahaskan tentang hak-hak manusia (Huquq al-Adamiyyin) dan hak-hak Allah (Huquq Allah). Solat adalah isu hak manusia perlu tunaikan kepada Allah, sedangkan membayar zakat adalah isu hak manusia perlu tunaikan sesama manusia. Berpuasa dalam bulan Ramadan adalah isu hubungan manusia dengan tuhan, sedangkan membayar zakat fitrah dalam bulan yang sama adalah isu hubungan manusia sesama mereka.

Amat ramai dalam kalangan muslim yang menjaga hubungannya dengan tuhan, tetapi mengabaikan hubungan mereka sesama manusia. Ekoran itu, terdapat manusia yang kuat menunaikan solat jemaah, tetapi dalam masa yang sama mengabaikan hubungannya dengan jiran dan tetamu. Sifat sebegini sudah pasti bercanggah dengan dasar agama, kerana Nabi saw ada menyatakan bahawa bukan dari kalangan orang beriman bahawa dia tidur sedangkan dia tahu bahawa jiran tetangganya sedang kelaparan (Mustadrak ‘Ala Sahihain, hadis no : 7307) Juga terdapat hadis bahawa nabi saw menyatakan tidak beriman seseorang itu dengan Allah dan hari akhirat, jika dia tidak memuliakan tetamunya. (Muwatta’, hadis no : 22)

Malah, perbincangan dalam kalangan ulama-ulama usul al-Fiqh, terdapat perbincangan besar berkenaan dengan mana yang perlu didahulukan, ketika berlaku pertembungan antara hak Allah dan hak manusia. Menurut al-Qarafi, kadangkala hak manusia didahulukan berbanding hak Allah. Contoh yang didatangkan adalah kewajipan membatalkan solat ketika mengetahui ada orang buta bakal jatuh dalam parit. (al-Qarafi, al-Furuq, jld 1, hlm 140) Dengan pemahaman ini, tidak hairan solat sebanyak 4 rakaat (zohor, asar dan Isyak) yang setiap rakaatnya merupakan hak Allah, dibenarkan untuk dikurangkan bilangan rakaatnya (qasar) ketika manusia bermusafir, sedangkan musafir yang dibenarkan qasar solat itu dalam kerangka menunaikan hak sesama manusia; seseorang doktor yang sedang melakukan pembedahan dibenarkan untuk tidak menunaikan solat jumaat untuk memastikan pembedahannya berjalan lancar.

Jelas kelihatan bahawa konsep kemanusiaan itu dipandang amat tinggi dalam ajaran islam. Malahan lebih itu, apabila terdapat hadis yang menampilkan seorang perempuan pelacur Bani Israel dinyatakan oleh Nabi saw sebagai diampunkan dosa, ekoran sifat rahmat si perempuan tersebut memberi minum kepada anjing kehausan. (al-Bukhari, hadis no : 3467)

KEBEBASAN

Manusia tidak mendapat keyakinan agama yang sebenar, dalam kerangka paksaan. Apabila anutan sesuatu agama dengan paksaan, hakikatnya ia tidak anuti agama tersebut dengan cara yang sebenar. Jika seseorang yang dipaksa menganut sesuatu agama juga, sudah pasti dia anuti agama secara nifaq. Anuti sesuatu kepercayaan, tidak jauh kesamaan dengan bercinta. Jika melayu ada pepatah, cinta tiada paksaan. Islam juga menyebut tiada paksaan dalam agama. Cinta dengan paksaan bukan cinta, maka begitujuga anutan agama.

Dengan sebab itu, kebebasan adalah sesuatu yang amat penting. Dengan kebebasan, manusia akan anuti agama secara yakin dan hati yang jujur. Dengan kebebasan, sesuatu fahaman atau mazhab dianuti dengan penuh keimanan.

Saidina Umar melihat soal kebebasan menjadikan manusia tidak akan mengabdikan diri kepada makhluk. Ekoran itu, ada perkataan beliau yang popular, “mengapa kamu menuntut pengabdian kamu kepada manusia, sedangkan kamu dilahirkan ibu kamu dalam keadaan kamu bebas dan merdeka” (Abu al-Qasim al-Misri, Futuh al-Misr wa Akhbaruha, hlm 183)

Al-Rabie’ bin ‘Amir, seorang sahabat juga pernah menyatakan perkataan yang hampir sama dengan Saidina Umar, tetapi dengan lebih jelas bahawa pengabdian diri kepada Allah hanya berlaku dengan kebebasan. Beliau menyatakan, “kami dibangkitkan untuk kami keluar dari pengabdian diri kami kepada hamba, kepada penyerahan diri kami kepada Allah”. (Syed Qutb, Fi Zilal al-Quran, jld 2, hlm 1057)

Manusia melihat kebebasan dalam banyak sudut; iaitu kebebasan anuti sesuatu kepercayaan, kebebasan bersuara, kebebasan berkehendak dan kebebasan dari sebarang ketakutan.

Dari sudut sumber Islam, kebebasan kepercayaan ini jelas terpamer dalam ayat ke 256, surah al-Baqarah bahawa Allah swt menyatakan tiada paksaan dalam agama; kebebasan bersuara dipamerkan dalam ayat 30, surah al-Baqarah bahawa Allah memberi hak kepada malaikat bertanya berkenaan kehendak Allah yang mahu mencipta Nabi Adam dan ayat 260 dari surah al-Baqarah juga bahawa Allah tidak melarang Nabi Ibrahim bertanya kepada Allah, bagaimana Allah menghidupkan orang mati; kebebasan berkehendak terpamer menerusi ayat 29, surah al-Kahf bahawa Allah memberi pilihan kepada manusia untuk memilih untuk menjadi mukmin atau memilih untuk menjadi kufur; dan kebebasan dari ketakutan pula dipamerkan oleh Allah menerusi ayat 4 dari surah Quraish bahawa Allah mahu memberikan keamanan pada orang quraish dari sebarang ketakutan.

Dalam keadaan manusia mencapai kebebasan, sama ada dari sudut kepercayaan, sudut bersuara dan berkehendak, terdapat manusia yang tidak bertanggungjawab terhadap kebebasan tersebut. Sepertimana ada yang memperalatkan Islam untuk halalkan keganasan, sudah pasti terdapat manusia menggunakan alasan kebebasan untuk melakukan kejahatan.

Makanya, Dr Abdullah bin Bayyah memberi komentar bahawa asal manusia adalah bebas. Namun, bebas manusia itu perlu diikat dengan tanggungjawab, iaitu sesuatu kekebasan manusia itu tidak boleh menafikan kebebasan orang lain. (Bin Bayyah, Hiwar ‘An Bu’d Hawl Huquq al-Insan fi al-Islam, hlm 42) Factor tanggungjawab penting dalam membahaskan berkenaan kebebasan, kerana terdapat manusia yang tidak bertanggungjawab dengan kebebasan. Atas alasan kebebasan, dia akan mencuri, mencaci, mencela, menipu dan berbagai-bagai lagi kejahatan yang bakal dilakukan.

Dalam ungkapan yang lebih mudah, Dr Tariq Suwaidan menyatakan kebebasan bermaksud bahawa “kamu boleh bercakap dan boleh buat sebarang perkara tanpa melakukan kemudaratan dan disertakan dengan adab[1]”. Jelas bahawa kebebasan adalah asal. Namun, untuk elak dari kebebasan digunakan sesuka hati sehingga boleh melahirkan kerosakan (mudharat), makanya kebebasan perlu diikat dengan tanggungjawab.

Justeru, pemerintah yang bebas dalam kepercayaan tidak sewenang-wenangnya menghalang rakyatnya dari berkepercayaan selainnya; orang yang bebas dalam bersuara tidak sewenang-wenangnya menghina dan menyeru kepada pertumpahan darah; orang yang bebas berkehendak tidak sewenang-wenangnya menafikan kehendak orang lain yang berbeza dengannya. Yang paling penting, semua kebebasan ini tidak sampai melahirkan ketakutan kepada manusia lain.

PEMBENTUKAN RAKYAT

Setiap negara, sudah pasti rakyatnya mempunyai inspirasinya tersendiri. Sesebuah negara maju, inspirasinya mungkin agak berbeza dengan inspirasi rakyat dalam negara yang belum maju; sesebuah negara yang dijajah, sudah pasti inspirasi rakyatnya tidak sama dengan negara yang sudah merdeka.

Kebimbangan yang paling besar dalam sesebuah negara yang merdeka adalah kegagalan mengurus kebebasan rakyat. Rakyat yang merdeka, kadangkala punyai imaginasi yang jauh lebih punyai masa depan berbanding imaginasi pemimpin yang sedang memerintah. Justeru, bagi menghadapi perkara ini, ada beberapa perkara yang penting dilaksanakan, iaitu pembinaan sikap atau attitute (Fiqh al-Ittijah), bersederhana dalam berkepercayaan (al-Iqtisad fi al-I’tiqad) dan meraikan perbezaan (adab al-Ikhtilaf).

Rakyat boleh menjadi baik, bukan kerana undang-undang. Sebaliknya, manusia boleh jadi baik, apabila mereka ada sikap (attitude) yang baik. Ekoran itu, tanpa undang-undang pun, rakyat di sweden tidak membuang sampah sesuka hati. Tetapi, rakyat Pakistan tetap membuang sampah sesuka hati, walaupun kadangkala di tempat yang terang-terang terdapat papan tanda larangan membuang sampah. Sikap rakyat Malaysia yang tidak suka membunyikan hon semasa memandu, sudah pasti tidak sama dengan sikap rakyat Mesir yang sentiasa bising dengan hon semasa memandu.

Sikap boleh dibentuk. Jika dahulu, filem-filem melayu lama mempamerkan ungkapan-ungkapan kutukan seperti bodoh, bahlul, badigol sebagai ungkapan gurauan. Lihat sahaja dalam filem Labu Labi dan Bujang Lapok lakonan P. Ramlee. Namun, dengan pembentukan sikap oleh pihak media perdana, seperti disensorkan ungkapan-ungkapan kutukan tersebut, menjadikan ia membudaya dalam sikap orang melayu. Kini, ungkapan kutukan itu amat sensitive jika diungkapkan, walaupun dalam kerangka gurauan.

Begitujuga dahulu melihat perempuan memakai furdah dalam budaya masyarakat Muslim di Malaysia amat ganjil. Jika pergi ke pasaraya, amat susah hendak melihat perempuan berfurdah. Jika ada seseorang perempuan memakai furdah, sudah pasti ramai memerhatikan perempuan tersebut dengan penuh keganjilan. Itu dahulu, tetapi kini, ia adalah perkara biasa. Iaitu setelah popular sebuah filem “ayat-ayat cinta” yang mempamerkan watak Aisyah yang memakai furdah. Selepas itu, budaya berfurdah di kalangan perempuan di Malaysia sudah semakin diterima dan menjadi sesuatu yang biasa.

Nyata, sikap manusia itu boleh dibentuk. Jika kena dengan caranya, tidak sukar mana pun untuk membentuk sikap tersebut.

Antara sikap yang perlu dibina adalah bersederhana dalam berkepercayaan. Iaitu, tidak mudah menuduh kalangan berbeza fahaman sebagai sesat, kufur atau munafiq; dan tidak mudah menganggap non Muslim sebagai musuh Islam dan anti islam, jauh sekali mahu menuduh sebagai harbi yang boleh membawa implikasi pertumpahan darah.

Sebagai muslim amat penting meletakkan kepercayaan bahawa kebenaran pasti akan menang dan kebatilan pasti akan hancur. (Surah al-Isra’, ayat 81) Mengenangkan keyakinan bahawa Islam sebagai agama yang paling benar, sedangkan selainnya sebagai batil, makanya tidak perlu menghalang orang lain dengan amalan dan kepercayaan agama mereka.

Keyakinan bahawa kebenaran pasti akan menang dan kebatilan pasti akan hancur adalah perkara yang perlu diterapkan kepada rakyat. Jika tidak, dogma mengatakan kepercayaan agama lain perlu disekat dan dihalang dari diamalkan secara bebas akan menghalang kejayaan perlaksanaan keadilan dalam hak beragama dalam sesebuah negara.

Implikasi dari dogma bahawa agama selain Islam tidak boleh diberikan hak kebebasan sebebas-bebasnya untuk diamal menjadikan sifat rahmat agama Islam ternafi. Secara persepsi telah melahirkan sudut pandang bahawa agama Islam ini tidak tertegak dengan hujah, sebaliknya tertegak dengan sekatan kekuasaan dan paksaan. Keadaan ini sudah pasti bercanggah dengan banyak nas wahyu, seperti dalam al-Quran, Allah swt menyatakan bahawa tiada paksaan dalam agama, sedangnya amat nyata antara kebenaran dari kebatilan. (Surah al-Baqarah, ayat 256)

Lebih-lebih lagi, al-Quran ada menganjurkan debat dan berhujah dengan pihak yang berbeza pendapat dan kepercayaan. Malahan, dinyatakan dengan nada berani, iaitu “datangkan hujah kamu, jika kamu dari kalangan orang yang benar” (Surah al-Baqarah, ayat 111). Anjuran debat itu, dinyatakan oleh Allah swt sebagai jalan yang perlu dipilih, jika ia boleh menghasilkan sesuatu yang baik. (Surah al-Nahl, ayat 125)

Sikap meraikan perbezaan pendapat juga penting. Ramai manusia boleh membahaskan punca khilafiyyah, dan menganggap bahawa khilafiyyah adalah perkara biasa. Namun, dalam keadaan ramai yang hebat membahaskan tentang punca berlaku khilaf itu, tidak ramai punyai sikap dan attitute meraikan khilafiyyah.

Sikap raikan dan hormati khilafiyyah, bukan semata-mata sesama muslim, seperti khilafiyyah antara sunni – syiah, tetapi perlu juga sesama manusia; dalam perbezaan kepercayaan dan anutan agama.

Dalam hadis, nabi saw ada menyatakan bahawa baginda akan menjadi penghujah untuk non Muslim yang dizalimi oleh muslim. Malahan, Nabi saw juga menyatakan bahawa baginda akan menjadi penghujah untuk non Muslim yang dikurangkan hak mereka, dan dibebankan oleh pemerintah muslim luar dari kadar kemampuan mereka. (Abu Daud, hadis no : 3052)

Sikap hormati (respek) perbezaan kepercayaan ini amat perlu, bukan semata-mata mengakui kewujudan perbezaan sahaja. Semata-mata mengakui kewujudan perbezaan tanpa ada perasaan hormati perbezaan, menyebabkan kehidupan sesama rakyat dalam negara tidak mencapai kebaikan.

DEMOKRASI

Bukan diakui bahawa demokrasi sebagai satu-satunya sistem yang terbaik. Namun, setakat ini, dalam sistem berpolitik dalam dunia, belum ada satu sistem yang lebih baik mengatasi demokrasi.

Demokrasi mengakui kewujudan dan hak-hak golongan minoriti pada saat memberikan kemenangan kepada kalangan majoriti. Demokrasi tidak menjadikan kalangan minoriti sebagai kalangan yang sentiasa kalah, kerana kejayaan mereka mempengaruhi awam menjadikan mereka boleh menang di suatu masa nanti.

Berbeza dengan sistem Khalifah, kekhilafan atau perbezaan dihadapi tanpa pertumpahan darah merupakan dasar penting bagi demokrasi. Jika pertumpahan darah berlaku juga, ia pasti tidak diakui, malahan dianggap sebagai melanggar demokrasi. Ini berbeza dengan sistem khalifah, kerana sistem tersebut memberi ruang untuk mengabsahkan pembunuhan yang diistilah sebagai bughah atau khawarij.

Namun begitu, demokrasi perlu dipimpin dengan cermat. Jika tidak, ia akan melahirkan kekacauan yang tidak diingini. Perkara ini pernah dipesan oleh Anwar Ibrahim dengan kata beliau, “Demokrasi yang dilaksanakan secara saksama, dengan memberi pertimbangan kepada segala kenyataan sosial dan politik, akan menjamin keteraturan dan kestabilan kerana ia memberi ruang untuk memberi keluhan dan ketidak puasan. Isu yang diperselisihkan, perlu diperdebatkan secara terbuka. Dengan demikian, demokrasi menghalang nafsu serakah dari meledak”. (Gelombang Kebangkitan Asia, hlm 51).

PENUTUP

Dalam buku Gelombang Kebangkitan Asia, Anwar Ibrahim ada menulis, “kebebasan dan demokrasi mempunyai nilainya tersendiri. Prinsip asasnya perlu difahami dan dihayati. Namun, kita tidak harus melupakan urutan keutamaan” (Gelombang kebangkitan Asia, hlm 45)

Justeru, dari sudut urutan kepentingan, Hak asasi manusia merupakan dasar penting. Ia bukan sekadar untuk memastikan kepelbagaian tidak melahirkan kerosakan, malahan ia dianggap penting kerana ia mahu memastikan hak-hak manusia yang berbeza tidak boleh dinafikan antara satu dengan yang lain.

Dalam mengakui hak-hak itu, faktor demokrasi tidak boleh diabaikan. Jika jantung memastikan manusia boleh hidup, akal pula memastikan hidup manusia itu dijalani dengan baik. Begitulah hak-hak asasi manusia itu dianggap sebagai jantung, sudah pasti akal bagi mengurus kepelbagaian itu adalah demokrasi.

Faktor kepelbagaian bukan sekadar diakui secara fitri, malahan ia diakui menerusi wahyu. Malahan, wahyu sendiri akui bahawa kepelbagaian perlu diurus demi memastikan kehidupan yang baik bagi manusia. Dalam wahyu mengakui kepelbagaian, wahyu juga menjelaskan bahawa dalam kepelbagaian itu, manusia punyai kesamaan. Semua ini kerana, wahyu diturunkan untuk memastikan manusia menjadi baik seperti keinginan fitrah manusia.

Ustaz Wan Ji bin Wan Hussin merupakan felo kanan Anwar Ibrahim Research Institute (AIRI)

CATEGORIES
TAGS