Memali: Presiden Pas mesti jelaskan Amanat Hadi

Memali: Presiden Pas mesti jelaskan Amanat Hadi

Naib Presiden AMANAH Datuk Husam Musa berkata, Pas mengungkit kembali kisah tragedi Memali yang berlaku pada tahun 1985 untuk mencari kesalahan musuh politiknya. 

Sedangkan katanya, Pas tidak boleh berlepas diri daripada peristiwa itu selagi isu Amanat Hadi tidak dijelaskan oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Pas membawa cerita Memali, adakah Pas boleh berlepas tangan sepenuhnya? Bukankah Amanat Hadi ada ditampal di rumah Ustaz Ibrahim Libya?

“Sampai hari ini Abdul Hadi tidak dapat menjelaskan tentang Amanat Hadi secara terbuka kepada rakyat padahal ia memberikan kesan politik yang sangat dalam kepada kedudukan politik orang Melayu khususnya di Kelantan dan Terengganu,” katanya di Konvensyen AMANAH Perak di sebuah hotel di Ipoh, hari ini.

Bekas Naib Presiden Pas itu juga berkata, kegagalan Abdul Hadi menjelaskan isu Amanat Hadi yang dikeluarkannya dahulu menyebabkan sukar untuk beliau dipercayai lagi jika mengeluarkan sebarang fatwa atas nama Islam.

{loadposition myposition}

“Kalau zaman dahulu Abdul Hadi boleh mengeluarkan amanat ini yang sampai hari ini tidak diberikan justifikasi, tidak pernah ditarik balik, tidak pernah dibetulkan, adakah Abdul Hadi boleh dipercayai apabila beliau membawa fatwa baru atas nama Islam?

“Pada pendapat saya semua yang datang dari Abdul Hadi dipolitikkan. Cukuplah Malaysia disengsarakan dengan mempolitikkan Islam,” katanya.

Teks yang dikenali sebagai Amanat Hadi Awang 1981 adalah sedutan daripada ucapan Presiden Pas itu di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981.

Amanat Hadi ini dicetak dan disebarkan ke merata pelosok negara oleh Pas.

Antara isi kandungannya adalah:

Saudara-saudara sekalian percayalah, kita menentang Umno, bukan kerana nama dia Umno. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

Percayalah saudara-saudara sekalian.

Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, kita tidak perlu masuk Hindu, kita tidak perlu masuk Kristian, tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan ppolitik suku, agama suku.

TAGS