Menentang genocide terhadap Rohingya bukan campur tangan hal dalaman Myanmar

Menentang genocide terhadap Rohingya bukan campur tangan hal dalaman Myanmar

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengingatkan Myanmar bahawa menyuarakan keprihatinan terhadap ‘genocide’ ke atas etnik Rohingya bukan campur tangan dalam urusan negara.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata apa yang berlaku di Myanmar adalah jenayah genocide dan bukan perselisihan politik antara kumpulan.

Sudah ada bukti yang kukuh oleh pihak UN bahawa genocide benar-benar sedang berlaku di Myanmar. Menyatakan keprihatinan kepada apa yang terjadi di Myanmar, sejak gelombang pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya di daerah Maungdaw adalah wajar, selaras dengan Article 2 of the Convention on the Prevention and Punishment Against Genocide (CPPCG),” katanya dalam satu kenyataan.

Myanmar telah membuat kenyataan menegur Malaysia supaya jangan campur tangan dalam urusan negara itu sebagai reaksi kepada siri demonstrasi serta Perhimpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya hari ini.

Azmi berkata penghapusan kumpulan minoriti atas alasan bahawa mereka bukan rakyat Myanmar sama sekali tidak boleh diterima bahkan bukan sahaja keprihatinan rakyat Malaysia kepada Rohingya yang beragama Islam tetapi ia juga adalah jenayah terhadap kemanusiaan.

“Rakyat Malaysia amat kesal dengan reaksi kerajaan Myanmar bahawa mengadakan perhimpunan untuk Rohingya yang kini dizalimi melalui penghapusan ektnik dianggap campur tangan urusan dalam negara.

“Sedang limpahan mangsa penindasan Myanmar ke atas Rohingya yang melarikan diri ke negara jiran dalam Asean berpotensi mencetuskan ketidakstabilan di rantau ini,” tegasnya.

Menurut beliau, tindakan penindasan di Myanmar yang sebegitu lama yang dilakukan dengan tujuan menghapuskan, semua atau sebahgian kaum, etnik atau penganut agama, membuktikan ia sudah cukup alasan untuk semua anggota Asean dan badan antarabangsa mengambil langkah perlu untuk menghukum Myanmar berdasarkan undang-undang antarabangsa.

“Kami menyokong kerajaan Malaysia untuk menekan Myanmar supaya mengusulkan Myanmar digantung atau dipecat dari Asean jika Myanmar berdegil meneruskan penghapusan etnik Rohingya,” katanya.

Selain itu Mapim turut menggesa kerajaan Malaysia mempertimbangkan menarik keluar pelaburan atau membekukan pelaburan di Myanmar atau memutuskan hubungan diplomatik jika situasi di Myanmar tidak pulih.

TAGS