Mengapa bagi Rajawali untung lumayan?

Mengapa bagi Rajawali untung lumayan?

Pada Disember 2014, hartawan Indonesia Peter Sondakh yang menguasai Rajawali Group telah membeli saham di Eagle High Plantation (EHP) pada Rp400 sesaham. Dianggarkan Rajiwali telah membelanjakan sebanyak US$570 juta untuk pemilikan sebanyak 68.6% di EHP.

Selepas digagalkan melalui pelbagai kecaman dan bantahan untuk membeli 37% kepentingan saham EHP melalui Felda Global Ventures (FGV) tahun lepas, Felda kini muncul dengan taktik terbaru dengan menggunakan anak syarikatnya, FIC Properties Sdn Bhd, yang tidak disenarai di Bursa Malaysia, untuk membeli kepentingan saham EHP. Bahkan, menurut Felda Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan Rajawali Group sudahpun ditandatangani.

Perlu diingatkan antara institusi kerajaan yang paling menentang pembelian EHP oleh FGV ialah KWSP yang memiliki 5% kepentingan saham di FGV ketika itu. Barangkali susulan selepas itu, KWSP telah mula melepaskan saham FGV secara senyap-senyap dan baru-baru ini badan itu mengisytiharkan bahawa ia tidak lagi memiliki sebarang saham FGV.

Hari ini, Felda mencadangkan harga US$505.4 juta (RM2.26 bilion) atau 582Rp sesaham sekadar untuk memiliki 37% kepentingan saham di EHP. Harga ini hampir menyamai harga kos keseluruhan US$570 juta yang digunakan Rajawali untuk memiliki 68.6% kepentingan saham di EHP.

Sekiranya urusan pembelian Felda ini berjaya, maka ini bermakna Rajawali Group memiliki 31.6% kepentingan saham EHP pada harga hampir percuma iaitu sekadar US$64.6 juta manakala Felda pula memiliki 37% kepentingan saham EHP pada harga US$505.4 juta, 6.5 kali ganda lebih mahal daripada apa yang dibayar Rajawali Group.

Walaupun Felda menyatakan bahawa “inilah peluang terakhir untuk Felda/Malaysia atau mana-mana pihak asing lain untuk melabur dalam sebuah syarikat Indonesia yang memiliki tanah simpanan yang amat luas” dan “kerajaan Indonesia juga bersetuju untuk memberi pengecualian sekali ini sahaja menerusi perjanjian ini”, apakah atas faktor itu Rajawali Group perlu diberi untung bulat-bulat sebegitu besar?

Yang menyedihkan, walaupun saham Felda di EHP lebih besar dan mahal berbanding Rajawali Group, namun Felda hanya berstatus pelabur di EHP.

Selain itu, umum mengetahui pemilikan tanah di Indonesia adalah rumit. Kebanyakan tanah hanya dipajak untuk 30 tahun, dan diberi opsyen untuk disambung untuk 30 tahun akan datang. Jadi sepatutnya, penilaian terhadap pertanian di Indonesia adalah rendah.

Sekiranya satu hari nanti, Felda ingin menjual kepentingannya di EHP, apakah Felda mampu mendapat kembali US$505.4 juta yang dibayarnya hari ini? Felda perlu memikirkan hal ini memandangkan ianya berstatus pelabur di EHP.

Laporan akhbar juga menyatakan bahawa Felda akan menggunakan sukuk dan mengambil hutang bagi membiayai pengambil-alihan dalam kepentingan EHP.

Ini adalah satu beban yang baru untuk Felda. Bukan itu sahaja, adalah dipercayai Felda juga perlu melabur di dalam kos operasi EHP untuk menanam pokok-pokok baru di kawasan-kawasan yang belum diusahakan, dan hasilnya akan dinikmati 6 tahun kemudian (berdasarkan anggaran purata masa untuk pokok sawit berbuah).

Felda sudah tentu mengharapkan sumber dananya mencukupi untuk menampung beban-beban baharu ini, dan semestinya ini akan memberikan tekanan kepada FGV, yang perlu membayar RM250 juta tunai setahun untuk 20 tahun dan 15% keuntungan daripada penjualan hasil tandan buah segar (TBS) seperti yang tertera di perjanjian pajakan tanah (LLA) antara Felda dan FGV.

Apakah yang akan terjadi pada kewangan Felda sekiranya sekiranya FGV gagal menunaikan tanggungjawab kewangannya kepada Felda memandangkan FGV kini dibelenggui masalah kos pengeluaran kerana LLA tersebut selain ia adalah saham pertanian terburuk semenjak ia disenaraikan di Bursa Malaysia?

Pas bimbang pembelian kepentingan di EHP akan menyebabkan sumber kewangan yang ada pada Felda menipis dan akhirnya tersepit lalu membantutkan operasinya dan mereka yang menerima padah semua ini ialah para peneroka manakala mereka yang bertakhta tinggi di Felda seperti Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad sekadar menuding jari sesama sendiri.

TAGS

COMMENTS